Mungkin ramai ahli Parlimen Bersatu sertai semula PH: Salahuddin

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

PETALING JAYA - Lebih ramai ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai akan menyertai semula Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat semula sebagai calon Perdana Menteri blok pakatan berkenaan.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak menolak kemungkinan berkenaan namun katanya, ia terserah kepada bekas Pengerusi Bersatu itu dan mereka yang menyokongnya.

"Itu tugas Tun dan rakan dalam Bersatu yang sokong Tun. Saya rasa lebih ramai daripada kalangan mereka akan sertai PH atas faktor Tun kembali menjadi calon Perdana Menteri," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Hotel Eastin di sini untuk menghadiri mesyuarat PH hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu ada menyatakan hasrat untuk menyertai semula PH selepas Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan pagi ini mendakwa bahawa beliau yakin mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan bersedia untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kelapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M tawar diri jadi calon Perdana Menteri

Beliau juga berkata telah menemui pemimpin PH pagi ini dengan PH turut mengeluarkan kenyataan yang parti itu memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir.

Salahuddin bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada Bersatu akan menyertai semula PH sebagai sebuah parti komponen atau ahlinya akan menyertai PH dengan menyertai baki parti komponen sedia ada PH.

"Itu kita cerita kemudian tetapi yang penting kita nak jumlah yang boleh sokong kepimpinan Tun," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: