Sanggup bayar RM30,680 untuk pinjam RM30,000

Mangsa membayar sehingga RM30,680 bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM30,000. Gambar kecil: Mohd Wazir
Mangsa membayar sehingga RM30,680 bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM30,000. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki sanggup membayar sehingga RM30,680 bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM30,000 sebelum menyedari dia telah ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa berusia 46 tahun telah melakukan 13 kali transaksi untuk memasukkan wang berkenaan dalam akaun seorang lelaki pada Khamis dan Jumaat lalu bagi bayaran urusan pinjaman sebagaimana diminta suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan iklan pinjaman wang semasa melayari internet pada Khamis lalu.

"Mangsa meninggalkan nama dan nombor telefon pada borang yang disediakan sebelum dihubungi suspek untuk menyerahkan salinan kad pengenalan, salinan penyata gaji dan salinan penyata bank bagi tujuan semakan kelayakan.

"Selepas tiga jam, mangsa menerima panggilan daripada suspek dan memaklumkan pinjamannya sudah diluluskan sebanyak RM30,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian diminta untuk membuat bayaran duti setem, bayaran percubaan, pembukaan akaun dan 'runner' untuk mendapatkan wang pinjaman.

"Semalam dan kelmarin, mangsa telah membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan menerusi 13 transaksi kesemuanya berjumlah RM30,680," katanya.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi diminta untuk membuat bayaran cukai pendapatan sebanyak RM3,600 lagi, namun mangsa enggan berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sedar dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.