Larangan merokok di pejabat, tempat kerja?

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan diminta mempertimbangkan agar pelaksanaan larangan merokok diperluaskan di pejabat dan kawasan tertutup di tempat kerja khususnya tandas.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata perkara ini bagaimanapun perlu dibincang secara teliti antara pihak kementerian dan majikan sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata tindakan sesetengah perokok yang merokok di dalam tandas boleh memudaratkan selain menjejaskan kesihatan orang lain.

“Saya sendiri pernah mengalami kepulan merokok di dalam tandas. Kita tahu perokok mahu merokok di tempat kerja dan mereka berbuat demikian di dalam tandas.

“Jadi, saya harap majikan dan kementerian dapat berbincang untuk menyediakan satu ruang merokok khas kepada pekerja yang ingin melepaskan gian merokok,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan para peserta larian, My Jantungku Run 2019 di Kompleks Sukan Air Presint 6 di sini hari ini.

Sementara itu, Lam Thye juga meminta para majikan untuk mengadakan program senaman sekurang-kurangnya 10 minit di pejabat bagi mengalakkan para pekerja mencapai aspek kesihatan yang berkualiti.

Katanya, dianggarkan terdapat 40,000 kes baharu penyakit jantung di Malaysia pada setiap tahun sekali gus menjadikan pembunuh nombor satu negara.

“Kita perlu contohi budaya negara Jepun iaitu bersenam secara ringan sebelum memulakan tugas.

Artikel Berkaitan:

“Kesihatan merupakan aset penting kepada individu dan negara, selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu ekonomi serta meningkatkan produktiviti kerja.

Lam Thye berkata, para majikan dan pekerja digalakkan untuk bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kesihatan jantung dan mengamalkan cara hidup sihat serta ceria.

Kira-kira 2,000 peserta menyertai Larian MyJantungku sejauh lima kilometer, anjuran Pertubuhan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOSHPA). Turut hadir Presiden MOSHPA Datuk Dr Kanagaraja Raman.- Bernama