Penghuni kondominium terperangkap, siling runtuh

Runtuhan siling yang berlaku di sebuah kondominium mewah berhampiran Jalan Ang Seng, Brickfields awal pagi tadi.
Runtuhan siling yang berlaku di sebuah kondominium mewah berhampiran Jalan Ang Seng, Brickfields awal pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 16 penghuni di sebuah kondominium mewah berhampiran Jalan Ang Seng, Brickfields, berdepan detik cemas selepas terperangkap di dalam rumah susulan kejadian siling runtuh awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.10 pagi dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi terlibat.

Menurutnya, sejurus tiba, anggota penyelamat mendapati kejadian itu berlaku di tingkat 12 bangunan tersebut.

"Kejadian dipercayai berlaku ekoran paip sistem 'sprinkler' yang runtuh bersama-sama siling bangunan berkenaan.

"Runtuhan tersebut berlaku di sepanjang bahagian koridor bangunan berkeluasan 100x4 kaki persegi dan tidak melibatkan struktur utama bangunan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, hasil tindakan pantas pasukan penyelamat, seramai 16 orang mangsa terperangkap melibatkan 15 unit kediaman berjaya dipindahkan.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

"Buat masa ini, JBPM masih menyiasat punca kejadian sebenar runtuhan siling tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan, sebuah rumah berhampiran Jalan Abdullah, Bangsar Utama terbakar 70 peratus dalam kejadian pagi tadi.

Katanya, PGO JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kebakaran di tingkat satu rumah itu pada jam 7.17 pagi.

"Sewaktu anggota penyelamat tiba, api sedang marak, bagaimanapun berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.23 pagi.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini," katanya.

Keadaan rumah berhampiran Jalan Abdullah, Bangsar yamg terbakar pagi tadi.
Keadaan rumah berhampiran Jalan Abdullah, Bangsar yamg terbakar pagi tadi.