Padah muat naik isu jawatan PM di Facebook

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook 'Sharifah Sofia Syed Rashid III' kerana memuat naik kenyataan menggusarkan berhubung isu jawatan Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman pada 27 Februari.

"Kita mengesan posting yang dimuat naik oleh 'Sharifah Sofia Syed Rashid III' dan turut dikongsi oleh pemilik akaun 'Zali Zakri', 'Kunak Sabah Balacan' serta 'Malek Hj Lahab'.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan kesemua individu terbabit masih dijalankan.

Katanya, bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang boleh menyebabkan kegentaran pada orang awam.

"PDRM juga mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

"Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan," katanya.

Artikel Berkaitan: