Anwar sahkan bertemu Dr Mahathir semalam

Anwar bersama Dr Wan Azizah dilihat keluar dari kediaman mereka menuju ke Hotel Eastin dipercayai bagi menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan hari ini.
 - Foto Bernama
Anwar bersama Dr Wan Azizah dilihat keluar dari kediaman mereka menuju ke Hotel Eastin dipercayai bagi menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad pada semalam.

Dipercayai ini menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin berkenaan selepas kerajaan PH tumbang dan Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri sekaligus mencetuskan krisis politik.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan intipati sebenar mesyuarat berkenaan kerana Anwar enggan mengulas lanjut.

"Jumpa, jumpa, semalam," kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara ringkas kepada media ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu.

Beliau ditemui sebaik tiba bersama isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menghadiri mesyuarat dipercayai bersama Ahli Parlimen PH di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut kelihatan di hotel berkenaan ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR; Ahli Parlimen Klang, Datuk Dr Xavier Jeyakumar (Naib Presiden PKR); Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (Setiausaha Agung Amanah) dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR).

Dalam perkembangan terkini, Dr Mahathir pagi ini mengeluarkan kenyataan mengejut mengatakan bahawa beliau yakin mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan bersedia untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam kenyataan itu, Dr Mahathir juga berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan PH pagi ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, PH juga turut mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan penuh bagi Dr Mahathir untuk jawatan Perdana Menteri. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M tawar diri jadi calon Perdana Menteri