Fahami kepentingan tenaga solar

Program tenaga solar di Malaysia masih jauh perjalanannya tetapi amat penting untuk mengetahui kepentingannya.
Program tenaga solar di Malaysia masih jauh perjalanannya tetapi amat penting untuk mengetahui kepentingannya.
A
A
A

BAYANGKAN 17 ekar panel solar mampu menghasilkan kira-kira 12,000KW tenaga elektrik setahun yang cukup untuk menampung kira-kira 5,000 rumah.

Ia bukan sahaja menjadi tenaga yang boleh diganti semula, malah menjadikan persekitaran hijau dan lebih bersih.

Tiada satu pun pokok yang perlu ditebang dan penanaman baharu tidak perlu dilakukan. Justeru, pelepasan karbon dioksida dapat dikurangkan sebanyak 8,328 tan setahun.

Adakah ia sekadar ungkapan tinggi melangit? Tidak, kerana ia dipraktikkan di Malaysia. Kira-kira 100 bumbung bangunan milik Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak lama lagi akan ditukar menjadi ladang suria yang bersambung dengan grid elektrik negara.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, TNBX Sdn Bhd kini bekerjasama dengan JKR untuk menukar bumbung-bumbung tersebut kepada ladang penjanaan kuasa.

Apabila panel dipasang, pengguna di bangunan berkenaan akan mendapat rebat pada bil elektrik mereka.

Selepas satu tempoh yang dipersetujui, sistem yang digunakan akan diserahkan kepada pemilik bangunan yang kemudiannya boleh menggunakan kuasa secara percuma.

Jurutera Elektrik Kanan JKR, Dr Abdul Muhaimin Mahmud berkata, ketika ini kos lebih murah jika orang ramai mahu memasang panel suria di atas bumbung berbanding beberapa tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau merupakan individu di barisan hadapan revolusi solar sejak hampir 15 tahun dan membantu lebih 100 sekolah di Sabah serta Sarawak untuk mendapatkan tenaga suria grid.

Menurutnya, program tenaga solar di Malaysia masih jauh tetapi amat penting untuk mengetahui kepentingannya.

“Kita mesti mendidik orang ramai memahami komponen tenaga solar agar tidak berlaku pembaziran tenaga,” katanya.

Sebuah lagi anak syarikat TNB iaitu GSPARX menyediakan pilihan Zero Capex untuk pelanggan komersial dan perindustrian.

Ketika ini GSPARX membangunkan 17 ekar ruang bumbung bangunan komersial dan perindustrian dengan potensi untuk membekalkan solar di bumbung kediaman secara model pembelian langsung.

Pengarahnya, Mohd Yusrizal Mohd Yusof berkata, pemilik bangunan akan membayar kadar lebih rendah untuk tenaga suria dan mendapat rebat jika terdapat lebihan untuk dimasukkan ke dalam grid.

“Projek ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk memiliki sebanyak 20 peratus tenaga elektrik yang dijana di Malaysia daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025,” katanya.