Idris kekal bersama UMNO, nafi keluar parti

Idris dan Ab Rauf (tengah) bersama barisan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri di kediamannya di Kampung Pulau Semut, di Masjid Tanah, di sini, tadi.
Idris dan Ab Rauf (tengah) bersama barisan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri di kediamannya di Kampung Pulau Semut, di Masjid Tanah, di sini, tadi.
A
A
A

ALOR GAJAH - Ketua Pembangkang Melaka, Datuk Seri Idris Haron akan terus teguh bersama UMNO meskipun selama ini pelbagai tomahan dan fitnah dilemparkan kepada beliau.

Idirs yang juga bekas Ketua Menteri berkata, ia penting kerana kesetiaan dan keteguhan itu akan memberikan kekuatan kepada parti.

Menurutnya, beliau menganggap segala tomahan itu berlaku kerana mungkin segelintir pihak tidak memperhalusi serta memahami situasi yang dilalui.

"Jadi malam ini saya minta Datuk Rauf bantu saya, beri penjelasan kepada mereka yang melemparkan fitnah.

"Terima kasih kepada Datuk Ab Rauf dan pemimpin UMNO negeri yang memahami situasi saya hingga menimbulkan pelbagai spekulasi," katanya.

Idris berkata demikian selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang dipengerusikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah, tadi.

Terdahulu, Sinar Harian menyiarkan UMNO Melaka menafikan mesyuarat khas yang akan diadakan di peringkat negeri pada malam tadi membincangkan mengenai pemecatan Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Seri Idris Haron daripada parti itu.

Artikel Berkaitan:

Ab Rauf berkata, sebaliknya inti pati mesyuarat itu adalah berhubung jentera Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya Parlimen dibubarkan.

Dalam pada itu, Idris berkata UMNO tidak boleh berfikiran masih lagi sebuah kerajaan yang pernah kuat pada ketika dahulu.

"Kita mesti fikir sebagai pembangkang kerana kalau jadi kerajaan sekalipun adalah untuk mengekalkan kasih dan sayang rakyat kepada UMNO sendiri," katanya.

Sementara itu Ab Rauf berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) umpama jasad yang telah hilang rohnya.

Ab Rauf berkata, setakat ini perakuan bersumpah (SD) telah lengkap untuk dipersembahkan kepada Yang diPertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob dalam masa terdekat ini namun pihaknya lebih gemar bersikap tunggu dan lihat.

Menurutnya, setiap anggota kepimpinan akan terus bersama dan sekiranya telah cukup keupayaan serta kekuatan tidak mustahil dapat membentuk kerajaan negeri kelak.

Katanya, selama ini timbul pelbagai spekulasi politik dan mesyuarat pada hari ini telah membuktikn ia berjalan dengan begitu baik lebih penting silaturrahim tidak boleh dipisahkan dengan sempadan politik.

"Sebenarnya ini bukan mesyuarat tergempar namun mesyuarat rutin kita takala mengalami krisis politik tanah air untuk kita bersedia apa juga kemungkinan.

"Mengenai Datuk Seri Idris Haron jangan dipersoalkan dan sayangnya kita tidak berbelah bagi," katanya.

Ditanya sama ada BN Melaka telah menyenaraikan nama-nama calon Ketua Menteri, Ab Rauf berkata, kesemua 13 wakil rakyat BN layak untuk menjadi Ketua Menteri namun seorang yang terbaik akan dipilih menerusi kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

Tambah Ab Rauf UMNO Melaka terbuka dengan mana-mana parti politik untuk bergabung dengan syarat tertentu selain Melaka sebuah negeri yang cukup kuat solidaritinya pada parti itu.

"Kita menyangkal kenyataan Ketua Menteri, Adly Zahari kalau dia mempunyai SD yang kuat, dia perlu buktikan supaya dia dapat teruskan pentadbiran negeri.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan dalam keadaan tidak sempurna umpama jasad yang telah hilang rohnya.