Penting kuasai teknologi pertahanan

A
A
A

MANA-mana negara yang mempunyai industri pertahanan kukuh sudah semestinya dapat menguasai bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam industri berkenaan. Ini dibuktikan oleh Singapura.

Industri pertahanan di sana bermula pada tahun 1975 dengan pencapaian kecil seperti pembuatan peluru, pemasangan kenderaan, penyenggaraan pesawat dan pembinaan bot.

Pada tahun 1980, Singapura menghasilkan mesingan buatan sendiri, Ultimax-100 menerusi syarikat Chartered Industries Singapore (CIS) yang kemudian turut digunakan oleh tentera 14 buah negara.

Firma Singapore Aerospace yang ditubuhkan pada tahun 1981 pula diberi kepercayaan untuk memasang 26 buah pesawat latihan SIAI-Marchetti S.211 buatan Itali yang dibeli tentera udara republik itu. Syarikat itu juga menghasilkan beberapa alat ganti pesawat A-4SU Super Skyhawk.

Kini, pencapaian industri pertahanan negara kota Singa jauh ke hadapan. Setelah lebih 30 tahun, CIS yang dikenali sebagai ST Engineering membuktikan kemajuan teknologinya menerusi kelengkapan perang buatan tempatan seperti sistem artileri mudah gerak Primus, kenderaan tempur infantri Bionix dan kenderaan perisai Terrex 8x8.

Dengan tenaga kerja seramai 23,000 orang di seluruh dunia, ST Engineering turut terbabit menghasilkan kelengkapan elektronik, perlindungan balistik dan aeroangkasa pasaran global.

Terbaru pada Januari lepas, subsidiari firma itu, ST Engineering (Marine) berjaya menyiapkan kapal misi pesisir Tentera Laut Republik Singapura (RSN), RSS Fearless bagi melengkapkan pembinaan lapan buah kesemuanya.

Syarikat sama juga sebelum itu telah membina enam buah frigat RSN iaitu kelas Formidable berasaskan kapal La Fayate buatan Perancis.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga Indonesia meletakkan kebolehan berdikari menghasilkan kelengkapan pertahanan. Empat peneraju utama industri ini ialah PT Pindad bagi penghasilan persenjataan dan kenderaan tempur, PT PAL (perkapalan), PT DI (aeroangkasa) dan PT.LEN (sistem elektronik dan komunikasi).

PT Pindad ditubuhkan pada tahun 1983 bagi menghasilkan pelbagai jenis sistem persenjataan Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta pasaran luar. Walaupun teknologi persenjataan yang dimiliki bukanlah yang terbaik di dunia tetapi penghasilan senjatapi firma ini membanggakan Indonesia.

Menggunakan senjata api buatan PT Pindad, TNI muncul jaguh dalam pertandingan menembak pada peringkat antarabangsa.

Kenderaan perisai buatan syarikat itu, Anoa, misalnya, digunakan dalam misi tentera pengaman PBB seperti di Lebanon, Afrika Tengah dan Sudan.

Industri aeroangkasa Indonesia, PT DI adalah cetusan idea bekas Presiden BJ Habibie pada tahun 1976. PT DI diberi kebenaran secara berlesen membina pesawat pengangkut CN-235, helikopter Puma (1981) dan Super Puma (1983).

Kini, PT DI menjalinkan kerjasama dengan Korean Aerospace bagi membina pesawat tempur generasi hadapan, KAI KF-X yang masih pada peringkat pembinaan prototaip.

Indonesia juga bukan sahaja berjaya membina kapal perang, malah menjual dua buah kapal sokongan logistik kepada Tentera Laut Filipina selain memasang kapal selam KRI Alugoro yang dibeli dari Korea Selatan.

Sebab itu, tidak mustahil sekiranya industri pertahanan Malaysia ingin ke hadapan dan bersedia bersaing sepertimana yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

KPP mengesyorkan industri pertahanan memanfaatkan peluang yang ada pada pasaran eksport khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

Justeru, ada cabaran yang perlu disahut tetapi syaratnya mestilah benar-benar menguasai kemajuan sains dan memiliki teknologi industri berkenaan.

*Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu