X

Kindly register in order to view this article
!

Perspektif perlu diperbaharui

A
A

SECARA umumnya, ramai yang memberikan perspektif yang berbeza bagi setiap lukisan atau arca seni yang dipamerkan dalam pameran seni serta mengupas dengan perspektif berbeza menerusi filem atau buku-buku novel yang ditonton dan dibaca oleh mereka.

Apa yang jelas, kupasan perspektif tersebut adalah rumusan daripada persepsi kita terhadap apa yang kita lihat, dengar dan rasa. Ini bermakna, persepsi dan perspektif boleh berubah-ubah mengikut situasi serta sejauh mana kita dapat maklumat yang sahih terhadap sesuatu. Hakikatnya, persepsi dan perspektif kita amat mudah digoncang oleh mereka yang berkepentingan jika kita tidak berhati-hati.

Sebetulnya, bukan mudah untuk mengulas isu ini dalam penulisan yang ringkas. Pun begitu, saya cuba mengulas dalam bahasa yang mudah serta contoh-contoh yang sesuai. Hakikatnya perspektif ini terbentuk daripada pemahaman kita terhadap persepsi. Bagi bahasa yang mudah, perpektif ialah pandangan kita terhadap sesuatu manakala persepsi adalah kepercayaan dan pentafsiran kita terhadap sesuatu.

Ini bermakna, jika persepsi kita terhadap kegagalan adalah mereka yang miskin, tercicir sekolah serta menjadi banduan dan penagih, maka perspektif kita terhadap kehidupan ialah, mereka yang miskin, tercicir sekolah, menjadi banduan dan penagih dadah adalah golongan yang gagal. Ini bermakna, jika salah membuat persepsi, maka salahlah juga perspektif kita.

Secara prinsipnya, setiap persepsi boleh berubah dan kekal tidak berubah. Apa yang nyata, berubah atau tidak adalah bergantung kepada sistem kepercayaan yang ada pada diri kita sendiri.

Sistem kepercayaan pula bergantung kepada apa yang kita belajar, tengok dan dengar secara berulang-ulang setiap masa dan disebabkan oleh sesuatu peristiwa dramatik yang boleh memberikan kesan kepada emosi dan pemikiran kita. Oleh itu, persepsi kita tidak akan berubah selagi kita mempelajari perkara sama serta berada dalam persekitaran yang sama. Hanya mempelajari perkara yang baru serta berada dalam persekitaran yang berbeza membolehkan kita membina persepsi baru dan seterusnya mempunyai perspektif berbeza terhadap kehidupan.

Menurut perspektif psikologi, elemen persepsi dan perspektif ini amat penting mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tindakan individu. Pun begitu, kita tidak boleh ‘menghukum’ seseorang itu menerusi satu perspektif sahaja, ini kerana terdapat pelbagai lagi perspektif psikologi yang perlu dipertimbangkan.

Sebagai contoh, jika seseorang itu bersifat agresif, tentunya kita tidak boleh menilai mereka tanpa merujuk kepada perspektif biologikal dan fisiologikal seperti masalah otak, saraf, sistem imunisasi dan pelbagai sebab lagi serta perlu juga dilihat menerusi perspektif kognitif, perbezaan budaya serta tahap ketahanan diri mengapa mereka boleh bersikap sedemikian.

Bagi negara kita yang berbilang kaum, budaya dan agama tentunya pelbagai persepsi serta perspektif yang boleh digarap berkaitan hal ini. Oleh itu, kegagalan kita melihat sesuatu isu menerusi persepsi yang betul akan menjarakkan lagi perspektif kita terhadap hal ini. Pada hemat saya, kita gagal melihat isu tersebut menerusi perspektif yang lebih luas kerana kita lebih mendesak kepada persamaan dan bukannya memperkaya perbezaan.

Hakikatnya, bagi mengelak diri kita secara berterusan berpandangan sempit serta ketinggalan berbanding dengan orang lain, kita harus memperbaharui perspektif kita. Ini bermakna, kita perlu keluar mencari dan mempelajari perkara-perkara baharu. Pun begitu, perspektif yang dibina haruslah berpaksikan kepada ketepatan ilmu yang dicari dan dipe-

lajari. Kita tidak boleh membina perspektif hanya menerusi sumber tidak sahih.

Selain itu, kita juga perlu meluaskan sempadan komunikasi dengan sesiapa sahaja bagi menajamkan lagi perspektif. Jika kita masih berada dalam kelompok yang sama berpuluh-puluh tahun lamanya, kita hanya berani mencanangkan perspektif yang dimanipulasi kepada kita dan bukannya berani membina perspektif sendiri. Kita harus berani berubah.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus