JDT juara Piala Sumbangsih 2020

Aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.
FOTO: FB JST
Aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. FOTO: FB JST
A
A
A

Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan awal apabila muncul pemenang aksi sumbangsih seterusnya menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Ia merupakan kejayaan ketiga berturut-turut JDT mendakap trofi itu, sekali gus menyaksikan mereka kini merekodkan lima kejuaraan Piala Sumbangsih selepas memenanginya pada edisi 2015, 2016, 2018 dan 2019.

Lebih manis, kejayaan JDT kali ini dicapai di gelanggang baharu mereka yang telah dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Sabtu lalu.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, JDT ternyata lebih dominan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung. Namun, Kedah dilihat berpeluang meledak gol pembukaan menerusi Hadin Azman seawal minit ke-9, namun pemain sayap Lang Merah itu gagal menyudahkan hantaran Kpah Sherman di depan pintu gol JDT.

Dua minit berselang, Hadin sekali lagi berpeluang mencipta jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti, namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gawang JDT, Farizal Marlias.

Hasil satu serangan balas, JDT hampir merobek gawang Kedah menerusi rembatan pemain import, Gonzalo Cabrera pada minit ke-36, namun penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal sempat melayangkan badan bagi menepis rembatannya.

Stadium Sultan Ibrahim akhirnya bergema dengan sorakan penyokong Harimau Selatan apabila tonggak pertahanan import, Mauricio Nascimento menanduk masuk gol pada minit ke-44.

Sebaik babak kedua bermula, kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan ke kubu lawan masing-masing bagi memburu gol.

Artikel Berkaitan:

Pemain sayap lincah, Safawi Rasid hampir menjaringkan gol kedua JDT pada minit ke-52 apabila larian solonya berjaya melepasi benteng pertahanan Kedah, namun kuisan kaki kirinya sekadar melintasi pintu gol Kedah.

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar kemudiannya berpeluang menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-61, namun rembatannya tepat ke dakapan Farizal.

Pada penghujung perlawanan, Kedah semakin hebat mengasak gawang tuan rumah, namun barisan pertahanan JDT terus kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Razlan Joffri Ali.