X

Kindly register in order to view this article
!

Presiden Mongolia dikuarantin

Presiden Mongolia, Khatmaagin Battulga.
A
A

ULAANBAATAR - Presiden Mongolia, Khatmaagin Battulga dilaporkan menjalani kuarantin sebaik pulang selepas lawatan rasmi di China.

Menurut agensi berita AKIpress, Battulga dan delegasinya kini ditempatkan di wad isolasi sebuah hospital kerajaan di Ulaanbaatar.

Battulga ialah ketua negara pertama melakukan perjalanan ke China sejak republik itu mengumumkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) pada Januari lalu.

Beliau ke China untuk bertemu Presiden Xi Jianping bagi membincangkan usaha sama menangani wabak maut berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Kesihatan Iran mengumumkan seorang daripada tujuh naib presidennya disahkan positif Covid-19 ketika wabak itu meragut 26 nyawa di negara berkenaan.

Agensi berita IRNA melaporkan Massoumeh Ebtekar bertanggungjawab ke atas hal ehwal wanita dijangkiti Covid-19.

Mojtaba Zolnour yang mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Keselamatan Negara di Parlimen turut dijangkiti virus itu.

Zolnour dalam satu rakaman video yang disiarkan agensi berita Fars berkata, beliau sedang menjalani kuarantin secara bersendirian.

Beliau ialah ahli Parlimen dari bandar Qom di tengah Iran di mana kes pertama Covid-19 dikesan di negara itu.

Menurut laporan media, antara mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 di bandar Qom kelmarin ialah Hadi Khroroshahi yang dilantik sebagai duta Iran pertama ke Vatican pada 1981.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Iraj Harirchi yang mengetuai pasukan petugas koronavirus negara itu dijangkiti Covid-19.

Pakar kesihatan antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap cara Iran menangani penularan wabak itu, tetapi Teheran bertegas keadaan di negara itu bertambah baik.

Covid-19 kini telah menjangkiti lebih 82,000 orang di lebih 44 negara.

Angka kematian akibat wabak tersebut juga melebihi 2,800 orang dengan jumlah tertinggi dicatatkan di China.

Sementara itu, beberapa kes baharu turut dilaporkan membabitkan negara-negara di Timur Tengah sejak beberapa hari lalu. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus