Pas Johor sedia bantu kerajaan negeri baharu

Hasni menerima watikah lantikan sebagai Menteri Besar Johor daripada Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. -Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Hasni menerima watikah lantikan sebagai Menteri Besar Johor daripada Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. -Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Meskipun hanya memiliki satu kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor, Pas negeri ini tetap akan bersama- sama Muafakat Nasional dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri baharu berjalan lancar.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, parti tersebut akan bersama-sama memainkan peranan demi kebaikan rakyat di negeri berkenaan.

"Saya bagi pihak Pas sangat bersyukur kepada ALLAH SWT dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Ir Hasni Mohammad di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor.

"Pas akan memainkan peranan untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar, pembangunan dalam keadaan baik dan juga segala aspek termasuk aspek agama, jasmani dan rohani dapat berjalan dengan telus,"katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Johor Bahru, hari ini.

Abdullah berkata, peranan Pas tertumpu dengan memainkan peranan dalam memberi pandangan berkaitan agama Islam.

"Sebagai sebuah parti yang sekian lama dalam arena politik yang sudah dikenali membawa dasar Islam jadi inilah peranan kita, untuk menyerlahkan pandangan-pandangan Islam sewajarnya," katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di Istana Bukit Serene, di sini, hari ini.

Beliau menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini.

Artikel Berkaitan: