Tiada penyebaran dalam komuniti dikesan di Malaysia

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada penyebaran jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan komuniti dikesan di Malaysia setakat hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sebanyak 77 sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan 70 sampel pengesanan kes influenza-like illness (ILI) telah diuji dan kesemuanya didapati negatif, menunjukkan ketiadaan penyebaran dalam komuniti.

"Kami telah meningkatkan SARI dan ILI kami untuk Covid-19 kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mencari komuniti yang tersebar dalam kalangan kes-kes yang teruk dan ringan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, semasa taklimat khas yang diadakan bersama Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi rantau Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai hari ini, para peserta menerima maklumat terkini mengenai situasi Covid-19 di Wilayah Pasifik Barat dan diberi taklimat mengenai penemuan misi bersama WHO-China.

Beliau menambah, setiap negara diberi peluang untuk memberi maklum balas dan menonjolkan kelebihan masing-masing serta menyuarakan isu yang menjadi perhatian.

Antara peserta yang hadir ialah menteri-menteri kesihatan (atau wakil kanan), Titik Fokus Kebangsaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) dan wakil WHO dari negara anggota masing-masing di Wilayah Pasifik Barat.

Pada taklimat khas itu, pelancaran maya Kertas Bimbingan Serantau WHO Pasifik Barat untuk Menyediakan Transmisi Komuniti Covid-19 turut diadakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: