Minta Tun M selesaikan masalah Bersatu Melaka

Ruslin menyerahkan surat pemakluman kepada Abu Bakar untuk dipanjangkan kepada Dr Mahathir.
A
A

SHAH ALAM - Bekas Penyelaras Dun Ayer Limau, Datuk Seri Ruslin Hassan minta Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelesaikan permasalah yang berlaku dalam parti itu di Melaka.

Katanya, ini berikutan tindakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Redzuan Md Yusof mengugurkan beliau daripada jawatan tersebut tanpa sebarang sebab.

Malah katanya, beliau tidak dipanggil untuk berbincang bagi mengetahui permasalah sebenarnya yang menjadi punca dirinya dipecat.

"Saya telah menerima satu surat bertarikh 10 Januari 2019 memaklumkan saya dikehendaki berhenti sebagai sebagai penyelaras Dun. Saya terima surat pemakluman bertandatangan menerusi aplikasi Whatsapp dan surat itu mungkin dipanjangkan kepada saya dalam sehari dua lagi.

"Surat ini menyatakan Datuk Seri Redzuan telah mengambil keputusan supaya jawatan saya sebagai penyelaras Dun Ayer Limau sejak Januari 2018 dikosongkan dan diganti oleh Datuk Dr Sabirin Jaafar. Apa yang saya boleh katakan adalah pemecatan ini tidak ada sebab dan alasan diberikan," katanya ketika ditemui media.

Beliau berpendapat, pemecatan tersebut juga tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Kalau dilihat kepada surat ini, ia ditulis pada 10 Januari lalu dan berkuatkuasa semalam. Ini satu jangka masa singkat dan tidak mengikut kaedah biasa seseorang itu diberikan notis berhenti daripada tugas. Paling tidak 14 hari atau seminggu," katanya.

Jelasnya, ketua bahagian tidak boleh sewenang-wenangnya menukar mana-mana penyelaras Dun yang telah dilantik tanpa alasan munasabah seperti seseorang itu meletakkan jawatan, hilang keupayaan atau melakukan jenayah.

"Maknanya, seseorang itu tidak boleh ditukar tanpa apa-apa sebab apatah lagi menetapkan individu lain bagi jawatan berkenaan.

"Perkara ini tak ikut peraturan dan perlembagaan parti. Ia tidak teratur dan saya tak boleh menerimanya," katanya.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, beliau telah menyerahkan surat pemakluman kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya untuk dipanjangkan kepada Dr Mahathir.

"Sebenarnya isu di Masjid Tanah bukan sahaja melibatkan saya seorang tetapi beberapa orang lagi yang ada jawatan. Walaupun mereka tidak dibuang seperti saya, tetapi mereka dikenakan tindakan tidak melalui perbincangan.

"Saya berharap dengan memanjangakan surat melalui Abu Bakar kita harap Dr Mahathir ambil tindakan sama ada memanggil saya jika perlu memberi keterangan, saya bersedia," katanya.

Abu Bakar ketika ditemui selepas pertemuan bersama pimpinan sayap negeri tersebut iaitu Ketua Armada, Ramlan Meon dan Ketua Srikandinya, Azalina Abdul Rahman serta kira-kira 40 ahli dari Masjid Tanah, Bukit Tangga, Sungai Rambai dan Alor Gajah berkata, beliau akan memanjangkan surat tersebut kepada Dr Mahathir.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan supaya sebarang perubahan kepimpinan di semua peringkat biarlah berlaku ketika pemilihan parti.