Muhyiddin sedia galas tugas sebagai PM

Abdul Kadir ketika ditemui media selepas berkunjung ke kediaman Muhyiddin di sini, hari ini.
Abdul Kadir ketika ditemui media selepas berkunjung ke kediaman Muhyiddin di sini, hari ini.
A
A
A

BUKIT DAMANSARA - Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan sudah bersedia menggalas jawatan Perdana Menteri kelapan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat termasuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu dikongsi oleh Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang berkunjung ke kediaman Muhyiddin di sini, hari ini.

"Orang dah calon beliau (Muhyiddin) dan nampaknya beliau macam terimalah.

"Parti (Bersatu) pun dah calonkan beliau sebulat suara," katanya kepada pemberita.

Soal media lagi, jadi boleh dikatakan Muhyiddin sudah sedia menjadi Perdana Menteri, Abdul Kadir mengakui perkara tersebut.

"Nampak gaya begitulah...tapi sudah ada kenyataan terbuka dari Bersatu tentang sokongan terhadap Muhyiddin menjadi calon Perdana Menteri," katanya.

Ketika ditanya berkenaan kunjungan beliau ke kediaman bekas Menteri Dalam Negeri itu, Abdul Kadir memberitahu, beliau hadir sebagai melawat kawan lama.

Dalam perkembangan lain, lima lagi bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat beredar keluar dari kediaman Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: BN, Pas sokong Muhyiddin jadi PM kelapan

Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian keluar pada jam 7.06 petang, disusuli tiga lagi rakannya iaitu Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah kira-kira dua minit kemudian.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon kemudiannya beredar pada jam 7.33 petang.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun juga beredar dari kediaman pada jam 7.12 petang.

Bagaimanapun kesemua pemimpin itu, bertindak mengunci mulut ketika ditanya pemberita berhubung kehadiran mereka ke kediaman Muhyiddin hari ini.