Gusi anak Fad Bocey tertusuk besi

A
A
A

ANAK kepada pelawak popular, Fad Bocey selamat menjalani pembedahan mengeluarkan besi alat kawalan jauh (remote control) kereta permainan daripada gusinya kira-kira jam 2.15 pagi tadi.

Menerusi perkongsian isterinya, Nur Syahirah Abdul Rahman, salah seorang anak kembar lelakinya, Favian Adrazin Zayyan, 5, tertusuk besi berkenaan pada bahagian hadapan giginya.

"Habit suka gigit barang mainan, kali ini tersilap gigit remote control kereta. Alhamdulillah semuanya dah selamat. 1.30 pagi masuk bilik pembedahan, dibius penuh sebab dalam keadaan kesakitan itu, susah nak keluarkan besi berkenaan," ujarnya menerusi akaun Instagram miliknya.

Keluarga Fad Bocey.
Keluarga Fad Bocey.

Sementara itu, Fad dalam satu temu bual bersama sebuah portal berita memberitahu, dia mendapat tahu berita cemas itu setelah dihubungi bapa mertuanya kira-kira jam 10.30 malam tadi.

"Saya berada di majlis tahlil Allahyarham Abam malam tadi dan abah beritahu Zayyan bersama kembarnya, Favian Adrazin Hayyan bermain dalam bilik mereka dan dia tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku. Mungkin mereka berebut alat kawalan jauh itu.

"Sebaik tiba di rumah saya terus bergegas membawa Zayyan ke sebuah pusat perubatan swasta di Setia Alam dan doktor melakukan pembedahan kecil. Pembedahan tersebut mengambil masa kira-kira 45 minit.

"Saya bersyukur hari ini dia sudah stabil dan dibenarkan keluar hospital," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Artikel Berkaitan:

Selain pasangan kembar Zayyan dan Hayyan, Fad serta Syahirah mempunyai seorang anak perempuan, Nur Aminah Mishall.