SMKA Jerlun masih buka pendaftaran pelajar tingkatan 4

Pelajar yang mendaftar di sekolah berkenaan pada 31 Disember lalu.
Pelajar yang mendaftar di sekolah berkenaan pada 31 Disember lalu.
A
A
A

KODIANG - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jerlun masih membuka pendaftaran kepada pelajar tingkatan empat yang berminat menimba ilmu di sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Napisah Salleh berkata, SMKA Jerlun merupakan sekolah menengah kebangsaan agama yang kelima baru dibuka di Kedah dengan pengambilan pelajar tingkatan satu dan empat sahaja.

Menurutnya, sekolah berkenaan menawarkan dua aliran sahaja iaitu, aliran sains tulen dan agama bagi tingkatan empat.

“Insya-ALLAH kita akan ada pertambahan pelajar bagi tingkatan empat sahaja esok (hari ini). Untuk tingkatan satu kuota kita bagi sudah penuh,” katanya yang dibantu 20 guru, dua staf dan seorang penyelia asrama.

“Kita masih lagi mengalu-alukan mana-mana pelajar tingkatan empat yang layak dan berminat,” katanya.

Beliau berkata, sekolah ini beroperasi secara rasminya pada 1 Januari lalu dengan jumlah 205 pelajar.

“Setakat ini sekolah mempunyai 82 pelajar lelaki dan 123 pelajar perempuan yang telah menjalani pendaftaran pada 31 Disember lalu.

“Semua pelajar diwajibkan tinggal di asrama walaupun rumah berdekatan dengan sekolah bagi memudahkan pemantauan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Napisah yang baru dilantik menjadi pengetua di sekolah berkenaan turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN) atas kepercayaan yang diberikan.

“Semoga sekolah ini dapat dipacu ke arah kejayaan yang gemilang pada masa hadapan,” katanya yang merupakan bekas Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Kedah, Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).