Azizulhasni raih gangsa di Kejohanan Dunia 2020

Mohd Azizulhasni Awang
Mohd Azizulhasni Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang terus mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat gangsa dalam final acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman hari ini.

Dalam aksi berlangsung di The Velodrom, Berlin, awal pagi tadi, pelumba kelahiran Dungun itu, berada di kedudukan terbaik untuk meraih pingat emas atau perak namun kemaraannya itu disekat dengan pergeseran dengan pelumba Britain, Jack Carlin.

Pingat emas menjadi milik pelumba Belanda, Harrie Levreysen yang menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 9.861 saat, diikuti pelumba Jepun, Yuta Wakimoto.

Menceritakan mengenai perlumbaannya hari ini, Azizulhasni, yang diberi jolokan The Pocket Rocketman, berkata, beliau diberikan tiga kali undian paling hadapan semasa perlumbaan bermula, namun secara taktikal ia tidak menyebelahi kayuhannya.

“Pada final, perancangan awal saya dan pasukan adalah untuk mendapatkan posisi terbaik sebelum pecutan bermula tetapi semua pelumba menunggu di belakang. Apabila perlumbaan memasuki pusingan kedua terakhir, saya cuba memecut apabila melihat ada pergerakan daripada belakang.

“Namun saya terkepung dan selepas itu berhimpit pula dengan pelumba dari Britian (Jack Carlin) yang merencatkan kayuhan saya ketika itu. Saya melihat ada dua pelumba telah berada di hadapan dan saya cuba mengejar, menunggu waktu yang sesuai untuk memintas.

“Malangnya, saya sekali lagi dihimpit pada selekoh terakhir apabila cuba memotong dan saya terpaksa akur dengan pingat gangsa. Saya bersyukur dengan pencapaian gangsa,” katanya dipetik dalam Instagram @azizulhasniawang.

Kemenangan tersebut merupakan pingat keenam Azizulhasni pada Kejohanan Trek Dunia di mana beliau mencipta sejarah meraih pingat emas di Hong Kong pada edisi 2017 dalam acara keirin.

Artikel Berkaitan:

Beliau meraih pingat perak di kejohanan itu di Poland pada 2009 dalam acara pecut, dan mengulanginya pada tahun seterusnya di Copenhagen, Denmark dalam acara keirin.

Azizulhasni juga meraih pingat gangsa di Paris pada 2015 dan edisi 2016 di London dalam acara keirin.- Bernama