Tasha Shilla sah bergelar isteri

Tasha Shilla bersama suami, Muhammad Atiq - FOTO: Blackpepper
Tasha Shilla bersama suami, Muhammad Atiq - FOTO: Blackpepper
A
A
A

PELAKON Tasha Shilla, selamat bergelar isteri kepada ahli kewangan, Muhammad Atiq Idris 33, dengan hanya sekali lafaz di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur, pagi semalam.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abd Razak Razali dengan disaksikan Imam Besar masjid berkenaan, Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni.

Pada majlis ijabkabul yang diadakan secara tertutup itu, Tasha menerima mas kahwin sebanyak RM800 dan sebentuk cincin. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pemilik nama sebenar Nastashashila Abdul Razak, 33, dan pasangannya itu tampil mengenakan persalinan serba putih hasil rekaan pereka terkenal, Hatta Dolmat pada majlis akad nikah. Manakala untuk majlis resepsi yang diadakan pada petang hari yang sama, mereka memilih busana tradisional Melayu klasik rekaan Zaimi Zulkafli.

Penyatuan dua hati pasangan itu berlangsung seminggu selepas mengikat tali pertunangan pada 23 Februari lalu.

Menurut Tasha, dia memilih tidak menghebahkan niat mendirikan rumah tangga kerana menganggap ia bersifat peribadi dan memadai hanya dikongsi bersama keluarga dan rakan terdekat.

Selepas bergelar isteri, Tasha memilih untuk menetap di Singapura bersama suami. Pasangan itu berkenalan pada Disember tahun lalu dan tidak mengambil masa yang lama untuk disatukan sebagai suami isteri apabila hubungan mereka direstui keluarga kedua belah pihak. Biarpun perkenalan singkat, baik Tasha mahu pun suami, percaya kepada ketentuan jodoh mereka berdua dan berharap agar ikatan itu kekal hingga ke akhir hayat.

Selain resepsi pihak perempuan, pasangan itu sekali lagi akan diraikan dalam majlis kedua bagi keluarga pihak lelaki yang akan diadakan pada minggu depan.

Artikel Berkaitan: