Isu terowong: Guan Eng menang saman Raja Petra

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berjaya dalam saman fitnah terhadap blogger Raja Petra Raja Kamarudin yang membabitkan beberapa siri artikel mengenai projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Ini kerana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah memperoleh satu penghakiman ingkar terhadap pengendali portal berita secara online Malaysia Today.

Peguam Guan Eng, Kok Yuen Lin memaklumkan pemberita bahawa keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail dalam kamar.

Yuen Lin berkata, Rohani membuat keputusan itu selepas blogger tersebut tidak menentang saman berkenaan dan mahkamah akan menaksir jumlah ganti rugi yang akan diberikan kepada Guan Eng kemudian.

Pada 6 September tahun lepas, Guan Eng memfailkan saman fitnah berhubung beberapa siri artikel 'Dari Fail SPRM' yang disiarkan Malaysia Today dalam versi bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia antara 24 Februari hingga 15 Mac 2019.

Artikel yang didakwa memfitnah itu berkaitan dengan siasatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur di negeri Pulau Pinang.

Guan Eng menuntut ganti rugi teladan atas alasan Raja Petra telah mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca yang ramai bagi kesemua artikel.

Beliau juga menuntut permohonan maaf di halaman muka depan akhbar dan satu perintah injunksi untuk menghalang blogger itu daripada mengulangi dakwaannya.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan Lim melalui tiga akhbar pada 10 Februari tahun ini.

Sebelum itu, Guan Eng cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhirnya yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal. - Bernama