X

Kindly register in order to view this article
!

Perubahan Pusat boleh pengaruhi pentadbiran di Selangor

AMIRUDIN
A
A

SHAH ALAM - Sebarang perubahan di peringkat Persekutuan boleh mempengaruhi perubahan pentadbiran kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menjelaskan perkara itu memberitahu, pihaknya juga ketika ini sedang meneliti perkembangan politik di peringkat Pusat secara lebih dekat.

Bagaimanapun tegasnya, kerajaan negeri sedia ada masih berjalan seperti biasa termasuk menyelaras formula dan melaksanakan agenda yang dirancangkan sebelum ini.

"Kita sedang melihat perkembangan kerajaan Persekutuan dan segala keputusan serta keadaan akan menentukan sedikit sebanyak perubahan kalau ada di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Karangkraf di sini hari ini.

Amirudin diiringi Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Karangkraf di sini hari ini.
Amirudin diiringi Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Karangkraf di sini hari ini.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar pentadbiran kerajaan Selangor berfungsi dan berjalan seperti biasa.

Dalam laporan tersebut, Amirudin turut memberitahu, Sultan Sharafuddin berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum 2018.

Sementara itu, berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri, Amirudin memberitahu, pihaknya telah pun mengadakan perbincangan bersama pimpinan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari baru-baru ini dan kata sepakat untuk meneruskan pentadbiran sedia ada telah dicapai.

Sehubungan itu katanya, tiada sebab untuk membentuk kerajaan negeri baharu buat masa ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama jemaah di Masjid Karangkraf di sini hari ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama jemaah di Masjid Karangkraf di sini hari ini.

"Melibatkan soal parti ini, masih belum ada sebab (bentuk kerajaan baharu). Kita lihat Kedah, Perak, semuanya jadi dengan formula masing-masing tapi Selangor kita kekalkan terlebih dahulu.

"Apa yang penting, saya tak nak apa-apa yang kurang baik di Selangor dan kekalkan kestabilan di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin turut memberitahu, dengan pentadbiran sedia ada ketika ini, pihaknya akan tetap memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Selangor dan akan memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.