Wakili semua, bukan satu kaum sahaja: Manogaran

Manogaran bersama Young Shefura ketika meninjau persediaan di bilik gerakan tersebut, malam tadi.
Manogaran bersama Young Shefura ketika meninjau persediaan di bilik gerakan tersebut, malam tadi.
A
A
A

LIPIS- PRK Cameron Highlands adalah medan untuk memilih mereka yang akan memperjuangkan semua pengundi di parlimen tersebut dan bukan untuk sesuatu kaum atau etnik semata-mata.

Calon PH, M.Manogaran menegaskan, PRK tersebut menjadi medan buat 32,009 pengundi di parlimen terbabit memilih pemimpin untuk mewakili semua kaum.

"Janganlah kita terus memainkan atau menimbulkan isu bahawa PRK kali ini adalah satu pertandingan untuk membuktikan siapa yang boleh membela nasib kaum atau etnik tertentu sahaja.

"Ini adalah perlawanan antara PH, BN dan dua calon Bebas, tidak sepatutnya timbul persoalan mengenai calon ini mewakili kaum tertentu semata. Kita nak pilih mereka (Ahli Parlimen) yang boleh memperjuangkan nasib semua kaum dan etnik yang ada di sini,'' katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Ceramah Umum dan Majlis Memperkenalkan Calon PH di Bilik Gerakan PH Felda Sungai Koyan 3, malam tadi.

Hadir sama, Penyelaras Kempen PH Bagi Kawasan Jelai, Young Syefura Othman yang juga Adun Ketari.

Dalam PRK terbabit,empat calon bertanding iaitu Manogaran sendiri calon BN, Ramli Mohd Nor; serta dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Sementara itu, Manogaran tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengugut Tok Batin di parlimen terbabit,baru-baru ini.

"Saya sendiri pun tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat Bob Manolan, ia adalah pendapat peribadi beliau dan ia bukanlah pendirian kerajaan Pusat atau pimpinan parti dalam PH.

Artikel Berkaitan:

"Kalau saya pun kena ugut seperti itu, saya tidak terkesan pun. Cuma, mungkin akan beri kesan terhadap mereka (Orang Asli) dan terguris dengan kenyataan terbabit.

"Walaupun undi daripada masyarakat Orang Asli bukanlah penentu, namun ia tidak bermakna (undi) mereka tidak penting. Jentera kita akan memberi tumpuan terhadap kebajikan Orang Asli," katanya.

Dalam pada itu, Manogaran menjelaskan pendekatan sama juga akan digunakan dalam kempen membabitkan warga Felda di sekitar parlimen berkenaan.

Katanya, pelbagai masalah berbangkit seperti bebanan hutang dan kadar hasil jualan kelapa sawit dapat diselesaikan.

"Kebanyakan masalah dihadapi peneroka Felda ketika ini, hanya boleh diselesaikan kerajaan Pusat. Isu Felda Global Ventures Berhad (FGV) adalah perkara lama dan boleh dikatakan setiap tahun dibangkitkan warga peneroka.

"Semuanya boleh diselesaikan kerajaan Pusat, berilah masa kerana kita menjadi kerajaan hanya kira-kira lapan bulan. Saya percaya, masalah ini sentiasa mendapat perhatian dan keutamaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri Kabinet berkaitan untuk diselesaikan," katanya.