X

Kindly register in order to view this article
!

Balu pemandu kereta sewa terima faedah Perkeso

Ismail (tengah) menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat dan bayaran pencen Faedah Orang Tanggungan RM837.00 sebulan kepada balu mendiang Subramanian di sini.
A
A

TEMERLOH - Berkat kesedaran seorang pemandu kereta sewa terhadap kepentingan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), nasib balu dan keluarganya terbela selepas dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, 28 Januari lalu.

S Andammah menerima pencen seumur hidup di bawah Faedah Orang Tanggungan RM837 sebulan selain Faedah Pengurusan Mayat RM2,000 yang diserahkan Ketua Cawangan Faedah II dan Skuad Prihatin, Ismail Abi Hashim di sini semalam.

Perkeso dalam kenyataannya memaklumkan, N Subramanian, 68, mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan pilihan Pelan 2 iaitu caruman RM232.80 setahun.

Caruman SKSPS dibuat mendiang pada 20 Januari lalu iaitu lapan hari sebelum dia terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14, Jalan Triang Temerloh yang meragut nyawanya.

N Subramanian meninggalkan seorang balu dan lapan anak yang rata-ratanya berusia lebih 21 tahun.

Faedah Perkeso tersebut layak diterima waris memandangkan musibah yang berlaku, sewaktu mendiang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

Perkeso memaklumkan, pihaknya menyediakan perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri melalui SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017.

Sebagai permulaan, skim itu diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan bas sebelum ia diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal lain bermula 1 Januari lalu.

Sehingga kini, kira-kira 2.8 juta individu yang bekerja sendiri layak mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.

Dalam perkembangan sama, Perkeso menasihati semua individu yang bekerja sendiri supaya segera mendaftar dan mencarum demi kebajikan diri dan keluarga sekiranya berlaku musibah terhadap mereka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus