Agusta terhempas: Hasil siasatan diketahui dua hari lagi

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Hasil siasatan kejadian helikopter Agusta Westland AW139 terhempas di sini malam tadi akan diketahui dalam tempoh dua hari.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan menjalankan siasatan setibanya unit itu di sini pada 4.30 petang hari ini.

"Hasil siasatan itu kemudian akan dikongsikan untuk pengetahuan umum dan selesai siasatan bangkai helikopter berkenaan akan dipindahkan balik ke Kota Kinabalu melalui jalan darat tertakluk kepada kebenaran BSKU.

"Posisi enam mangsa terlibat termasuk seorang jurutera awam akan dikekalkan sementara di sini sehingga rakaman siasatan diselesaikan," katanya ketika ditemui media di sini.

Dalam pada itu, sejurus selepas kejadian malam tadi kesemua mangsa dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, kru PGU yang mengalami kecederaan adalah Sarjan Wedrich Sindih, 34, dipercayai patah tulang leher dan tulang pinggul sebelah kiri dan kanan, selain turut cedera Sarjan Radzie Radaie, 40, yang patah tiga ruas tulang rusuk sebelah kanan.

"Kedua-dua anggota berkenaan akan dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut MRI selepas mendapat kebenaran daripada pihak hospital di sini. Seorang lagi yang cedera terseliuh di tangan adalah Asisten Superintenden Shaike Faiqzal Johari, 34 tahun.

"Tiga lagi yang cedera ringan, Deputi Superintendan Norhashim Ahmad, 44, Harry Joinin, 36, dan Koperal Andyrian Shah Mohd Saufi, 33 tahun," katanya.

Katanya, kesemua mangsa dalam tugas rutin rondaan Op Taring di kawasan pantai timur Sabah, selain terlibat dengan program Skuadron Perisai Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Lokman berkata, helikopter berkenaan diperoleh pada April tahun lalu untuk digunakan dalam operasi khas sekali gus memperkasa rondaan di kawasan pantai timur Sabah.

Semalam dilaporkan sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia membawa enam anggota PGU yang berlepas dari Lapangan Terbang Tawau terhempas 7.40 malam sewaktu cuba mendarat di Helipad Kem Batalion 14 PGA Tawau, Jalan Air Panas di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter milik PDRM terhempas di Tawau

Anggota terlibat bergerak menaiki helikopter dari Lahad Datu ke Lapangan Terbang Tawau untuk singgah mengisi minyak sebelum ke Kem PGA dan kemudian hilang kawalan lalu terhempas. - Bernama