Jangan gunakan Islam untuk cetuskan porak-peranda - PM

BUTTERWORTH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat Islam supaya mengimarahkan masjid bukan sahaja sebagai gedung ilmu tetapi juga sebagai tempat penyatuan ummah di negara ini.
Menurutnya, masjid perlu dimakmurkan dengan aktiviti yang memperkukuh perpaduan serta penghayatan nilai-nilai Islam bagi menghidupkan semangat muafakat demi kesejahteraan dan keharmonian negara.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang menggunakan masjid sebagai medan perpecahan, perbalahan dan menghina orang lain.
“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan, bukan menyemai kebencian atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
"Ini yang menjadi polemik di negara kita... Jangan gunakan Islam hanya untuk mencetuskan porak-peranda dan menyerang pihak lain. Sebelum membuat keputusan, kefahaman harus diberikan terlebih dahulu.
"Perbezaan pendapat itu dibolehkan, tetapi tidak perlu mencerca, memaki hamun atau menidakkan orang lain," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai, di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid.
Pada majlis tersebut, Anwar turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada pihak masjid bagi pembangunan insaniah anak-anak kariah di kawasan itu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kejayaan masyarakat Islam bukan sekadar diukur melalui aspek ekonomi dan politik, tetapi juga sejauh mana institusi agama seperti masjid dimakmurkan serta berfungsi secara efektif.
Jelasnya, masyarakat Islam perlu menjadikan masjid sebagai medan penyatuan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Semangat persaudaraan yang kukuh dapat dibentuk sekiranya masjid dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat ilmu dan aktiviti kemasyarakatan.
“Masjid juga perlu bersikap terbuka kepada semua golongan, termasuk wanita dan anak muda, bagi memastikan mereka lebih mendekati agama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!