Kes denggi di Petaling Jaya meningkat

Mohd Sayuthi ketika mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh Bulanan MBPJ, kelmarin
Mohd Sayuthi ketika mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh Bulanan MBPJ, kelmarin
A
A
A

PETALING JAYA - Kes demam denggi di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meningkat 19 peratus sehingga minggu epid kelapan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, sejak awal tahun lalu sebanyak 1,300 kes direkod berbanding 1,097 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah tersebut adalah yang terendah berbanding dua pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di daerah Petaling.

“Tiada kes kematian dilaporkan. Lokaliti wabak kawasan panas yang aktif dilaporkan sehingga minggu epid kelapan adalah sebanyak 26 lokaliti.

“Sebanyak 25 lokaliti wabak dilaporkan sehingga Isnin lalu,” katanya ketika mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh Bulanan MBPJ kelmarin.

Terdahulu beliau berkata, PBT itu melancarkan van baharu Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MBPJ bagi kegunaan operasi kecemasan dan bencana sekali gus menambah baik perkhidmatan.

Beliau berkata, van pelbagai guna yang diubahsuai dan boleh memuatkan lima orang pada satu-satu masa itu juga boleh digunakan sebagai pejabat bergerak atau mini mesyuarat di lokasi tapak bencana atau kecemasan.

“Selain itu van tersebut turut dilengkapi almari penyimpanan pakaian seragam, ruang simpanan dokumen, sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan peralatan kelengkapan asas untuk keperluan statik ketika bencana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Skuad Pantas merupakan pasukan yang mengendalikan kes kecemasan dan bencana ditubuhkan di PBT Negeri Selangor berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 3/2013.

Katanya, penubuhan skuad tersebut tidak mengganggu peranan agensi keselamatan sedia ada seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Namun skuad ini bertindak sebagai sokongan dalam melaksanakan tindakan bantuan merangkumi aspek logistik, kepakaran dan kebajikan.

“Antara kes kecemasan dan bencana yang pernah dikendalikan oleh Skuad Pantas MBPJ adalah banjir kilat, tanah runtuh, ribut, pokok tumbang, kemalangan dan kebakaran,” katanya.