Genius sokong had 30 murid dalam satu kelas

MOHD AZIZ
MOHD AZIZ
A
A
A

KAMPUNG RAJA - Gabungan Intelektual Pendidik Guru SeMalaysia (Genius) menyambut baik cadangan pakar pendidikan negara supaya bilangan murid dihadkan kepada 30 orang bagi setiap kelas.

Presidennya, Dr Mohd Aziz Mohd Din berkata, cadangan agar bilangan murid sekolah rendah dalam satu kelas dikurangkan kepada 25 hingga 30 berbanding 40 hingga 45 sekarang perlu diambil perhatian serius.

Menurutnya, Genius mengalu-alukan cadangan itu kerana ia selari dengan dasar Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dilancarkan pada 1980-an dahulu.

“Dasar KBSR menetapkan bilangan murid dalam sekelas adalah 25 orang dan inilah juga yang Genius bangkitkan untuk mempertahankan kenapa 27 IPG (Institut Pendidikan Guru) perlu dikekalkan kerana pengecilan bilangan murid ini akan membuatkan pertambahan guru.

“Kementerian Pendidikan hari ini diharapkan dapat berusaha ke arah mematuhi dasar tersebut,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kecilkan bilangan murid dalam satu kelas]

Mohd Aziz yang juga bekas Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan, berkata, keadaan murid dalam kelas yang berbeza kepadatannya, menyebabkan keberkesanan pembelajaran juga berbeza-beza.

Katanya, ada sekolah yang bilangan murid sekelas belasan sahaja manakala ada sekolah pula sekitar 20 hingga 30 orang.

Artikel Berkaitan:

“Malah ada sekolah yang sekitar 30 hingga 40 dan ada sekolah bilangan murid sekelas melebihi jumlah itu. Dalam keadaan begini tentunya kualiti pendidikan yang diberikan oleh guru terjejas,” katanya.

Katanya, ditambah pula dengan pelaksanaan Penilaian Berasaskan Bilik Darjah (PBD) tentunya menyebabkan proses dan kualiti penilaian juga terjejas dengan bilangan murid sekelas yang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan berusaha meneliti cadangan itu demi keberkesanan pembelajaran murid-murid dan menjaga kualiti pendidikan negara.

“Ia merupakan suatu keperluan sekarang dan kalau pun berlaku pertambahan guru atau latihan guru perlu ditambah, Kementerian Pendidikan mempunyai 27 kampus IPG yang mampu menampung keperluan latihan guru dengan kapasiti 32,000 orang dalam satu-satu masa,” katanya.