X

Kindly register in order to view this article
!

Bolehkah keringkan anggota wuduk?

JIKA tiada keperluan untuk mengeringkan anggota selepas berwuduk, maka eloklah dibiarkan ia kering dengan sendirinya.
A
A

KADANGKALA selepas berwuduk, ada orang lebih selesa untuk mengeringkan anggota wuduknya sebelum menunaikan solat.

Ada segelintir orang pula terus mendirikan solat sebaik sahaja berwuduk.

Bagaimana pandangan Islam tentang hal itu? Bolehkah kita mengeringkan anggota wuduk dengan tuala selepas selesai berwuduk?

Menjawab persoalan tersebut, terdapat hadis yang sahih riwayat Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan, apabila seseorang berwuduk, ketika membasuh muka, tangan dan kakinya akan gugurlah dosa-dosanya bersama mengalirnya air sehingga ke titisan yang terakhir.

Itu menandakan kelebihan wuduk boleh menghapuskan dosa-dosa.

Adapun dalam perihal hukum mengeringkan anggota wuduk, para ulama terbahagi kepada dua pandangan dengan hujah masing-masing.

Pendapat pertama menyatakan, hukumnya adalah harus. Pendapat itu ‘dipegang’ oleh sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Anas bin Malik, Usman bin Affan dan lain-lain.

Demikian juga pendapat Imam Ahmad dalam masalah itu kerana asalnya tiada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut.

Sementara itu, pendapat kedua berpandangan makruh menyapu atau mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk.

Ini kerana dalam hadis riwayat Saidatina Maimunah dalam Sahih al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW menolak ketika diberikan kain untuk mengelap anggota wuduk baginda.

Imam al-Rafie juga menyatakan, sunat ditinggalkan perbuatan mengeringkan anggota wuduk.

Kesimpulannya, jika ada keperluan dan hajat, maka tidak menjadi masalah untuk mengeringkannya.

Sebaliknya, sekiranya tiada keperluan, maka eloklah dibiarkan sahaja. Demikianlah pendapat Imam An-Nawawi.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!