Bubar Parlimen bukan jalan terbaik: Hanif Omar

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyifatkan pembubaran Parlimen bukan langkah terbaik dalam menangani kemelut politik negara ketika ini.

Lembaga Penasihatnya, Tun Mohammed Hanif Omar berkata, banyak risiko perlu diambil kira sekiranya keputusan itu dibuat memandangkan keadaan ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini.

Menurutnya, pembubaran Parlimen juga tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa memandangkan peluang buat kedua-dua pihak masih ada dan mereka perlu berbincang semula serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Kami yakin mereka mampu menyelesaikan perbezaan pendapat ini dan mencari formula terbaik untuk memilih Perdana Menteri tanpa perlu membubarkan Parlimen serta mengadakan pilihan raya.

"Malah negara kita juga belum sampai tahap diancam atau darurat perlu diisytiharkan sehingga Parlimen perlu dibubarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan Memorandum Rakyat kepada wakil Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pintu 2 Istana Negara di sini sebentar tadi.

Turut mengiringi beliau, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan serta beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) antaranya termasuklah Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Ummah).

Mengulas lanjut, Mohamed Hanif yang juga Pengerusi Gerakan Mempertahankan Kedaulatan Perlembagaan berkata, MPM menghantar 'memorandum rakyat' kepada Istana Negara sebagai usaha pelbagai NGO terhadap penyelesaian kepada kemelut melanda negara ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kandungan memorandum satu muka surat tersebut kerana beranggapan ia khusus buat Seri Paduka dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua pemerintah negara untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita biarkan Yang di-Pertuan Agong buat keputusan, kalau baginda rasa perlu bubar, kami terima,” katanya.

Sementara itu, Musa turut melahirkan pendapat yang sama bahawa tidak wajar Parlimen dibubarkan kerana dilihat tiada sebarang ancaman keselamatan setakat ini.

“Tiada yang berdemo, tiada yang bahaya kita lihat lagi, jadi tidak perlu bubar Parlimen dan kita biarkan kepada tuanku buat keputusan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang Parlimen Khas akan tentukan calon Perdana Menteri: Tun M

Tiada keperluan bertemu Dr Mahathir: Anwar

Mesyuarat khas Majlis Raja-raja diharap rungkai kemelut politik negara

Pas tuntut bubar Parlimen, adakan PRU15

'Dr Mahathir pentingkan politik peribadi, bukannya rakyat'