Keganasan di New Delhi reda

Sebuah motosikal musnah dibakar di sebuah kediaman di Ashok Nagar susulan rusuhan ganas kembali tercetus di New Delhi pada lewat Ahad lalu. - Foto AFP
Sebuah motosikal musnah dibakar di sebuah kediaman di Ashok Nagar susulan rusuhan ganas kembali tercetus di New Delhi pada lewat Ahad lalu. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Rusuhan sektarian yang kembali tercetus susulan protes terhadap Undang-Undang Kerakyatan melanda sekitar ibu negara India meragut sekurang-kurangnya 32 nyawa, menurut polis hari ini.

Keadaan dilaporkan agak reda selepas ribuan polis antirusuhan dan separa tentera meningkatkan rondaan di kawasan paling teruk terjejas di New Delhi yang mempunyai populasi 20 juta penduduk.

"Tiada insiden keganasan utama dilaporkan di kawasan terjejas sejak tengah malam tadi. Kami memberi bantuan segera selepas menerima beberapa panggilan kecemasan," kata jurucakap polis New Delhi, Mandeep Randhawa.

Sementara itu, Pengarah Hospital Guru Teg Bahadur (GTB), Sunil Kumar memaklumkan hospital tersebut mendaftarkan 30 kematian manakala ketua doktor di Hospital Lok Nayak mengesahkan dua mangsa meninggal dunia.

"Kesemua mereka mengalami kecederaan akibat tembakan," kata Kumar.

Jumlah kematian tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 27 yang dilaporkan semalam selepas kumpulan perusuh Hindu dan Muslim saling bertempur selama dua hari berturut-turut bermula Isnin lalu.

Rusuhan ganas itu tercetus lewat Ahad lalu selepas pertempuran tercetus antara kumpulan penganut Hindu dan penduduk Islam yang menyertai protes membantah Undang-undang Kerakyatan diumumkan kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Kumpulan perusuh terbabit turut bertindak membakar ribuan harta-benda dan kenderaan hingga menyebabkan kemusnahan besar.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember lalu, sekurang-kurangnya 30 terkorban kebanyakannya akibat tindakan kekerasan polis di Uttar Pradesh yang mempunyai populasi orang Islam terbesar di India.

Kebanyakan orang Islam percaya undang-undang tersebut satu bentuk diskriminasi terhadap mereka dan merupakan sebahagian daripada rancangan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi untuk menjadikan India sebagai sebuah negara Hindu. - AFP