Kes demam denggi di Sabah membimbangkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kes demam denggi di Sabah di tahap membimbangkan apabila 1,432 kes dicatatkan membabitkan tujuh kematian dalam tempoh Januari hingga semalam.

Jumlah itu meningkat 327 kes atau 29.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas yang merekodkan 1,105 kes dengan sembilan kematian.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi berkata, lima daerah yang merekodkan kes denggi tertinggi adalah Kota Kinabalu sebanyak 419 kes, diikuti Sandakan (261), Semporna (195), Lahad Datu (180) dan 114 kes di Tawau.

"Kes demam denggi di Semporna meningkat empat kali ganda. Berdasarkan 1,432 kes demam denggi itu dengan tujuh kematian, ia membimbangkan.

"Semua pihak termasuk ketua jabatan perlu memastikan kuaters kerajaan dan kawasan sekolah bersih dan tidak menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes," katanya ketika menyampaikan taklimat pada Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan di Sabah di sini hari ini.

Dr Christina berkata, sejak Januari lepas hingga semalam, sejumlah 62 wabak aktif di negeri ini dengan enam kawasan titik panas, empat kawasan wabak tidak terkawal dan 52 kawasan wabak terkawal membabitkan lapan daerah iaitu di Semporna, Sandakan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau, Penampang, Pitas dan Putatan.

Katanya, JKNS memantau rapi kes demam denggi di negeri ini bukan sahaja daripada segi kawalan pembiakan nyamuk aedes tetapi juga menerusi kempen memerangi, khususnya di kawasan yang dikenal pasti adanya demam denggi.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengambil langkah agresif bagi membendung penularan penyakit ini iaitu menjalankan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan dan penghapusan bekas berpotensi.

Artikel Berkaitan:

Mengenai perkembangan virus polio, Dr Christina berkata, masih ramai ibu bapa di Sabah tidak membawa anak mereka yang berusia bawah 13 tahun mendapatkan vaksin polio.

Katanya, JKNS mengadakan Kempen Imunisasi Polio Sabah sejak Disember tahun lepas termasuk membabitkan kanak-kanak bukan warganegara sebagai tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio di negeri ini.

"Aktiviti imunisasi tambahan dilakukan dengan imunisasi polio dos 1 diberi secara titisan ke mulut turut melibatkan kanak-kanak yang sudah menerima imunisasi polio ketika kecil," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, jumlah pesakit polio yang dikesan di Sabah sejak Disember tahun lepas adalah tiga orang iaitu bayi lelaki berusia tiga bulan di Tuaran, kanak-kanak berusia 11 tahun di Kinabatangan dan kanak-kanak berusia lapan tahun di Sandakan. - Bernama