‘Kami tak akan berganjak'

Deris menunjukkan paras air sungai yang pernah melimpah.
Deris menunjukkan paras air sungai yang pernah melimpah.
A
A
A

PONTIAN - Mungkin ramai tidak menyedari kewujudan Kampung Kemang di kawasan pesisir sungai Pontian Kechil.

Mungkin kerana kedudukannya yang terletak di belakang lorong perumahan penduduk di Jalan Johor Bahru Pontian dekat Sungai Gurap menyebabkan Kampung Kemang sedikit tersembunyi.

Ketiadaan papan tanda nama kampung di hadapan lorong masuk juga menyukarkan Kampung Kemang ditemui terutama bagi mereka yang datang dari luar daerah Pontian.

Bekas Ketua Kampung, Deris Ahmad,67, berkata, Kampung Kemang sudah wujud lebih 40 tahun lalu dan menjadi antara penempatan penduduk terawal di daerah ini.

Jelasnya, kedudukan kampung di kawasan pesisir sungai memudahkan penduduk terutama mereka yang bekerja sebagai nelayan turun mencari rezeki.

Bagaimanapun, kira-kira 50 penduduk Kampung Kemang masih tidak diberikan geran hak milik kekal.

Justeru, Deris berharap agar kerajaan mendengar rintihan penduduk yang mahukan geran hak milik kekal diberikan ke atas mereka.

“Sudah lebih 40 tahun, kami tinggal di sini. Kami harapkan geran hak milik kekal diberikan ke atas tanah kediaman tempat kami berteduh.

Artikel Berkaitan:

“Jika penduduk di Kampung Kukup Laut yang tinggal kawasan atas air diberikan geran, penduduk Kampung Kemang juga mengharapkan perkara yang sama," katanya.

Dihimpit masalah air pasang

Kedudukan kampung di kawasan pesisir sungai menyebabkan kawasan kediaman penduduk sering dilimpahi air pasang.

Menurut Deris, biarpun dihimpit dengan masalah air pasang, penduduk sama sekali tidak akan berganjak dengan keputusan mahu mendapatkan geran hak milik kekal mereka.

Kampung Kemang
Kampung Kemang

Katanya, dalam tempoh sebulan kejadian air pasang berlaku sebanyak dua atau tiga kali.

“Biasanya waktu berlakunya air pasang bermula pada jam 10 pagi. Ketika itu air sungai akan melimpah di kawasan laman rumah penduduk.

“Sejam kemudian, air pasang akan kembali surut dan air sungai berhenti melimpah. Keadaannya tidak membahayakan,” katanya.

Jelas Deris, disebabkan kedudukan rumah penduduk lebih tinggi, air sungai yang melimpah ketika fenomena air pasang berlaku tidak akan memasuki ke dalam kediaman penduduk.

“Rumah penduduk tinggi di sini. Orang sebut rumah yang tinggi sebagai rumah panggung.

“Setakat hari ini, kejadian fenomena air pasang terkawal dan tidak merbahaya kepada penduduk,” katanya.

Menurut Deris lagi, sekiranya geran hak milik kekal tanah diberikan dia berhasrat untuk menambak kawasan sekitar rumahnya bagi mengelakkan air sungai masuk ke dalam rumah.

“Luluskan dulu geran kami, kemudian baharulah kami ambil langkah untuk kurangkan risiko ketika berlaku air pasang seperti dengan menambak kawasan sekitar kediaman, itu pun jika ada rezeki,” katanya.

Bagi penduduk, Hamidah Ahmad, 63, beliau mengharapkan agar geran tanah hak milik kekal diberikan kepadanya.

“Sudah lama penduduk di sini mengharapkan geran atas tanah kediaman mereka. Harap penantian penduduk di sini berakhir segera,” katanya.

Mahu papan tanda nama Kampung Kemang

Dalam pada itu, Deris menyuarakan hasrat agar sebuah papan tanda nama Kampung Kemang dibina.

Lorong Kemang menjadi laluan kepada penduduk untuk ke Kampung Kemang.
Lorong Kemang menjadi laluan kepada penduduk untuk ke Kampung Kemang.

Jelasnya, ketiadaan papan tanda menyukarkan orang ramai mencari Kampung Kemang yang terletak di belakang lorong kawasan kediaman penduduk.

“Ramai keliru dengan Kampung Kemang sebab tiada papan tanda.

“Terdapat dua lorong yang digunakan sebagai laluan masuk ke Kampung Kemang iaitu Lorong Kemang dan Lorong Mengkudu,” katanya.