Kerajaan gabungan baharu di Johor

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Johor akan ditadbir oleh kerajaan gabungan baharu terdiri daripada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, MIC dan Pas menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Bersatu mempunyai bilangan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata, keputusan itu diambil selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berpuas hati bahawa gabungan baharu itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Menurutnya, 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor memilih gabungan baharu manakala 26 lagi memilih PH berdasarkan temubual yang diadakan Sultan Ibrahim bersama 56 ADUN semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun, ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan ADUN Puteri Wangsa, yang juga Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang tidak hadir temuduga yang dijalankan di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan itu.

"Temubual diadakan di hadapan Sultan Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor bagi mendengar sendiri sokongan yang diberikan ADUN berikutan kemelut politik yang menyaksikan Bersatu keluar PH pada 24 Februari lalu.

"Setiap ADUN juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong PH atau gabungan baharu.

"Setelah selesai temuduga tersebut, Tuanku telah berpuas hati bahawa gabungan parti yang baharu telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, oleh demikian, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon menteri besar, sebelum susunan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru dilantik.

"Tuanku berharap agar pentadbiran negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini," katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terdiri daripada UMNO (14), DAP (14), Bersatu (11), Amanah (9), PKR (5), MIC (2) dan Pas (1).