Menangani hegemoni negara China

A
A

LAPORAN media massa yang memetik akhbar Amerika, Wall Street Journal (WSJ) sebagai berkata bahawa China telah menawar bagi menolong Malaysia membayar balik hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan syarat Malaysia memberi projek kepadanya tidaklah memeranjatkan.

Malah untuk sekian lama banyak daripada kita telah mensyaki-nya dan memberi amaran terbuka mengenainya.

Cara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, mengumunkan pelaksanaan projek-projek raksasa dengan memberi kontrak kepada syarikat China ketika hutang kerajaan sedang melambung menimbulkan keraguan.

Hal yang didedahkan oleh WSJ itu sekadar mengesahkan apa yang telah kita bincang dengan panjang lebar selama ini, khususnya mengenai bagaimana projek-projek mega dilancarkan secara tergesa-gesa sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Apa yang lebih penting daripada laporan baharu WSJ itu ialah betapa kemenangan Pakatan Harapan (PH) telah menyelamatkan Malaysia daripada menjadi hamba hutang China.

Negara raksasa komunis itu tidak mempunyai masalah memberi hutang kepada Malaysia atau mana-nama negara di dunia asalkan memperoleh pulangan strategik seperti monopoli ke atas pasaran dan hasil bumi.

Dalam kaitan dengan negara kita, China mempunyai pertimbangan tambahan iaitu ketenteraan. Ia mahu menjadikan Malaysia sebagai pangkalan hadapan (forward base) dalam usahanya menjadi kuasa tentera terbesar di Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi.

Saya telah banyak kali menulis dalam ruangan ini dan di tempat-tempat lain mengenai strategi China membina pelabuhan, kawasan industri dan penempatan eksklusif untuk rakyatnya di seberang laut.

Kita tidak boleh salahkan China kalau kita menjadi alat atau mangsa kepada dasar diaspora rakyat jelatanya. Rakyat China perlu bercempera demi kelangsungan bangsa mereka.

Kalau ratusan tahun lalu orang Cina meninggalkan negara mereka untuk melepaskan diri daripada kemiskinan kini mereka meninggalkan negara mereka sebagai orang kaya.

Kalau dulu mereka menjadi buruh lombong dan peniaga kecil di Asia Tenggara, khususnya Tanah Melayu, kini mereka menjadi tauke dan pelabur.

Kekayaan mereka begitu besar dan gaya hidup mereka begitu mewah sehingga negara-negara maju seperti Australia dan New Zealand pun bimbang dan mula mengehadkan pembelian harta oleh pendatang China.

Kita kena faham bahawa bumi China bukanlah subur dan makmur seperti yang digambarkan dalam cerita lama tetapi sebenarnya sederhana sahaja.

Menurut anggaran, tanah pertanian di China hanya berupa 10 peratus daripada tanah pertanian dunia sedangkan China menampung 20 peratus daripada penduduk dunia.

Sebab itulah dalam sejarah China kematian akibat kebuluran adalah perkara biasa. Dalam sejarah moden, iaitu antara tahun 1958 dan 1962, seramai 30 juta rakyat China dianggarkan mati kerana kekurangan makanan.

Bandingkan dengan kebuluran di Ireland antara 1845 dan 1849 yang mengorbankan sejuta nyawa, Kesatuan Soviet (1931–1933) enam juta dan Teluk Banggala (1943–1944) dua juta.

Sebab itulah dalam era moden selepas kematian Mao Zedong pada tahun 1976 China amat mengutamakan industrialisasi, pengeluaran makanan dan perluasan kawasan ketenteraan.

Di dalam negara mereka memajukan pertanian secara besar-besaran manakala di luar negara mereka membeli atau menajak tanah pertanian di negara-negara seperti Kemboja, Laos, Mozambique dan Tanzania.

Bagaimanapun percubaannya melakukan hal yang sama di negara-negara lebih besar dan maju seperti Argentina, Brazil dan Indonesia tidak berjaya. Percubaan China itu dilihat sebagai rampasan tanah.

Jadi kalau kita jahil mengenai dasar China atau kita menggadai aset kita kepadanya kerana kita kemaruk duit, maka kita janganlah terkejut atau menyesal kalau kita menjadi negara lindungan China.

Apa yang sedang China lakukan di Asia dan Afrika samalah dengan amalan memberi pinjaman oleh peniaga Cina di seluruh Asia Tenggara yang berkesudahan dengan orang tempatan hilang kuasa ke atas harta benda mereka.

Kesimpulannya, demi kelangsungan China perlu berkembang di dalam dan luar wilayahnya manakala bagi kita pula, kalau kita hendak mengelak daripada menjadi negara lindungan China, kita kenalah berhati-hati terhadap tindak-tanduk negara gergasi komunis itu.

Kita wajib terus berdagang dan berkongsi perniagaan dengannya tetapi bukanlah dengan menggadai harta, kedaulatan dan maruah kita. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara