Covid-19: Thailand saran syarikat penerbangan kurangkan promosi

Syarikat penerbangan di Thailand disaran mengurangkan jualan dan promosi murah terutamanya ke negara-negara yang dilanda Covid-19 bagi mengekang penularan virus.
Syarikat penerbangan di Thailand disaran mengurangkan jualan dan promosi murah terutamanya ke negara-negara yang dilanda Covid-19 bagi mengekang penularan virus.
A
A
A

BANGKOK - Syarikat penerbangan disaran mengurangkan jualan dan promosi murah terutamanya ke negara-negara yang dilanda koronavirus (Covid-19) bagi mengekang penularan virus berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul.

Beliau juga menggesa warga Thailand agar mengelakkan perjalanan tidak perlu ke negara-negara yang dilanda virus itu, sebaliknya melancong di dalam negara untuk membantu mengembangkan ekonomi domestik.

“Semua rakyat Thailand perlu berganding bahu mengekang penularan wabak dan menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terkesan oleh Covid-19.

“Bagi syarikat penerbangan, tolong kurangkan promosi... walaupun harga tiket dan pakej pelancongan murah tetapi rawatan untuk virus ini mahal. Ia mungkin menjadi percutian terakhir anda,” katanya pada taklimat harian mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, Thailand mencatatkan tiga lagi kes baharu Covid-19, membabitkan pasangan suami isteri warga tempatan dan cucu mereka, menjadikan jumlah kes di negara itu sebanyak 40.

Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Dr Sukhum Kanchanapimai berkata, pasangan suami isteri warga emas itu mempunyai kontak dengan cucu lelaki berusia 8 tahun sekembalinya mereka dari Hokkaido, Jepun 23 Februari lepas.

“Mereka dipercayai dijangkiti Covid-19 ketika berada di Jepun dan ia berjangkit kepada cucu mereka apabila berlaku kontak dengan kanak-kanak itu ketika mereka tiba di tanah air,” katanya dan menambah lelaki berusia 65 tahun itu kini dirawat di Central Chest Institute of Thailand manakala isteri dan cucunya dimasukkan ke Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di Nonthaburi.

Anutin turut mengkritik lelaki berkenaan yang tidak mendedahkan sejarah perjalanannya ketika pertama kali mendapatkan rawatan di hospital.

Artikel Berkaitan:

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dia berisiko menjadi penyebar utama penyakit itu. Jangan sembunyikan sebarang maklumat. Pesakit perlu maklumkan doktor mengenai sejarah perjalanan mereka,” katanya.

Sehingga hari ini, Thailand merekodkan 40 kes disahkan Covid-19 membabitkan 26 warga asing dan 14 warga tempatan dengan 24 daripada mereka pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital manakala baki 16 lagi masih menerima rawatan. - Bernama