X

Kindly register in order to view this article
!

Guna besi dan cangkul samun jemaah masjid

Kedua-dua suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal selepas melakukan samun di masjid.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengenal pasti identiti dua suspek yang memukul seorang warga emas dengan menggunakan besi dalam kejadian samun di ruang solat perempuan Masjid An-Nur Kampung Guar,Jalan Guar Jering, Kubang Semang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintenden Mustafa Bidin berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3 petang tadi, mangsa yang berusia 65 tahun bersama dua jemaah lain sedang menunggu kelas mengaji.

"Warga emas berkenaan tiba-tiba dihampiri dua lelaki dan meragut rantai emas miliknya. Mangsa yang ketakutan menjerit menyebabkan suspek bertindak memukul belakangnya dengan menggunakan besi," katanya.

Beliau berkata, suspek yang turut membawa cangkul bertindak mengacukan ke arah mangsa dan dua jemaah lain sebelum mengambil beg mereka yang mengandungi telefon bimbit, telekung dan al-Quran.

"Mereka kemudian melarikan diri dengan motosikal," katanya ketika dihubungi di sini.

Mustafa berkata, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sekitar lokasi kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.