X

Kindly register in order to view this article
!

Petronas catat untung bersih RM40.5 bilion

Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh (empat dari kiri) pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2019 Petronas di KLCC hari ini. - Foto Bernama
A
A

KEUNTUNGAN bersih Petronas turun 27 peratus kepada RM40.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 daripada RM55.3 bilion dalam tahun kewangan 2018 berikutan hasil rendah yang susut empat peratus kepada RM240.3 bilion daripada RM251 bilion pada tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, keuntungan bersih rendah itu adalah disebabkan hasil rendah dan rosot nilai bersih bagi aset berjumlah RM7.3 bilion manakala hasil lemah itu adalah disebabkan purata harga direalisasi rendah bagi produk utama.

“Tidak termasuk kesan rosot nilai itu, keuntungan bersih kami bagi 2019 berjumlah RM47.8 bilion, turun enam peratus dari 2018,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2019 syarikat itu di sini hari ini.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih syarikat itu berjumlah RM4.1 bilion turun 71 peratus daripada RM14.3 bilion semasa suku yang sama pada 2018, berikutan hasil susut sebanyak lapan peratus kepada RM64 bilion daripada RM69.9 bilion.

Beliau berkata, 2019 merupakan tahun yang sukar kerana industri terus dibayangi situasi tidak menentu yang berterusan dengan ketidakstabilan geopolitik serta peningkatan perlindungan perdagangan dan pada penghujungnya dilanda penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, harga tenaga dan komoditi terus menunjukkan prestasi tidak menentu di tengah-tengah situasi ini dengan harga purata minyak mentah berada pada AS$64 setong pada 2019, lebih rendah berbanding harga purata AS$71 setong pada 2018.

Wan Zulkiflee berkata, keseluruhan industri tidak bersedia dengan impak daripada penularan Covid-19 dan ia menyebabkan permintaan dari China merosot terutama bagi gas asli cecair (LNG).

Bagaimanapun, beliau berkata, pelanggan dari China hanya membentuk enam peratus daripada jumlah hasil kumpulan.

Mengenai dividen, beliau berkata, Petronas membayar RM54 bilion kepada kerajaan pada tahun lepas, terdiri daripada RM24 bilion dividen biasa dan RM30 bilion dividen khas.

“Bagi tahun ini, kami belum lagi mengadakan mesyuarat agung tahunan, tetapi kami merancang dividen RM24 bilion bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, prospek bagi industri minyak dan gas masih lemah memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang masih berterusan, ketegangan perdagangan yang berlarutan dan gangguan permintaan dalam tempoh terdekat ini berikutan penularan Covid-19.

Walaupun berdepan cabaran ini, beliau berkata, Petronas akan kekal melaksanakan strateginya dan mengekalkan kecekapan operasi di samping mengekalkan disiplin fiskal.

“Kami akan kekal komited untuk mengembangkan pertumbuhan kami di Malaysia. Malahan, perbelanjaan modal kami bagi Malaysia dijangka meningkat lebih daripada 10 peratus dalam lingkungan RM26 hingga 28 bilion pada 2020, dan kami juga menyasar meningkatkan lebih daripada lima peratus pengeluaran minyak dan gas kami.

“Kami juga akan memanfaatkan kedudukan Kompleks Bersepadu Pengerang sebagai hab petrokimia yang bertujuan menampung dan memenuhi permintaan pasaran serantau,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf