Kerajaan tanpa parti politik langgar sistem demokrasi: MT UMNO

Mohd Razlan
Mohd Razlan
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mewujudkan kerajaan tanpa parti politik sukar dilaksanakan kerana melanggar sistem demokrasi negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, ini kerana setiap ahli Parlimen yang akan bertanding perlu mendapatkan watikah yang dikeluarkan oleh setiausaha agung parti masing-masing.

Justeru katanya, mandat yang diterima oleh ahli Parlimen itu berasaskan parti dan bukan individu.

"Bagaimana pula kita hendak melantik Kabinet tanpa restu parti.... tidak boleh. Jadi pada pandangan saya tidak boleh (cadangan ini dilaksanakan) kerana setiap ahli Parlimen itu bertanding menggunakan logo parti.

"Jadi, saya berpandangan cadangan itu amat sukar dilaksanakan selain ia turut melanggari sistem demokrasi yang berada di Malaysia.

"Ini kerana setiap ahli Parlimen yang menang itu adalah tanggungjawab mereka kepada parti, mereka bertanding pun perlu ada surat parti," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Dr Mahathir untuk mewujudkan kerajaan tanpa parti politik susulan pergolakan politik negara ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, cadangan yang dikemukakan Dr Mahathir itu secara jelas juga menunjukkan bahawa ahli Parlimen Langkawi itu kecewa dengan parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

"Bila Tun M dah buat kerajaan tanpa parti politik sebab apa dalam kenyataan dia marah kepada semua parti.

"Beliau tidak marah UMNO itu dia cakap akhir sekali tetapi yang pertama tu dia cakap dia marah dekat semua parti.

"Umpamakan Dr Mahathir tidak percayakan pada parti politik. Apabila tidak percaya kepada parti politik sekarang ini Tun M cuba dapatkan sokongan daripada ahli Parlimen tanpa parti," katanya.

Ditanya langkah yang perlu dilakukan sekiranya Dr Mahathir tetap berhasrat melaksanakan cadangan itu, Mohd Razlan berkata, ia boleh dilakukan dengan merombak semula sistem demokrasi pilihan raya di negara ini.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung cadangan itu.