Maldives lantik Amal Clooney bela nasib Rohingya

Amal Clooney
Amal Clooney
A
A
A

COLOMBO - Maldives melantik peguam hak asasi manusia berpengaruh, Amal Clooney untuk mewakili mereka di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi membela nasib etnik Islam Rohingya yang ditindas di Myanmar.

Negara destinasi pelancongan mewah itu hari ini mengesahkan ia secara rasmi menyertai Gambia untuk mencabar Myanmar atas tindakan kekerasan yang dilakukan tentera terhadap penduduk minoriti terbabit hingga menyebabkan kira-kira 740,000 terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.

Pemilihan Clooney itu dibuat susulan kejayaannya menolak keputusan PBB yang menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun ke atas bekas Presiden Maldives, Mohamed Nasheed yang didakwa sebagai tidak sah.

“Akauntabiliti untuk pembunuhan beramai-ramai di Myanmar telah lama tertangguh. Saya tidak sabar untuk terlibat dalam usaha penting ini bagi membela hak penduduk Rohingya,” kata Clooney.

Bulan lalu, ICJ mengarahkan Yangon untuk melaksanakan langkah kecemasan bagi menghalang genosid ke atas penduduk Rohingya sementara menunggu perkembangan kes tersebut yang mungkin mengambil masa beberapa tahun.

Sebagai respons, Myanmar turut menyambut baik keputusan tersebut dan berjanji akan melindungi hak penduduk Rohingya serta mengelakkan segala bukti berkaitan kes tersebut dimusnahkan. - AFP

Artikel Berkaitan: