'10,000 ahli PKR Kelantan bakal keluar parti'

Ab Aziz (lima,kiri) melakukan gimik penyerahan baju sebagai tanda keluar parti itu di sini hari ini.
Ab Aziz (lima,kiri) melakukan gimik penyerahan baju sebagai tanda keluar parti itu di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 500 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) melibatkan tiga cabang utama di negeri ini mengisytiharkan keluar parti itu hari ini.

Tiga cabang tersebut ialah Kubang Kerian, Rantau Panjang dan Ketereh.

Pengumuman tersebut dilakukan dalam satu majlis yang diadakan di Padang Kala di sini dan turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi peringkat negeri parti itu.

Bekas Pengerusi PKR Negeri yang juga Ketua Cabang Ketereh, Ab Aziz Ab Kadir dalam sidang akhbar memberitahu, keputusan tersebut diambil selepas membuat beberapa penilaian.

"Rentetan apa yang berlaku iaitu pemecatan Timbalan Presiden Keadilan, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin maka kami semua terpanggil untuk menyatakan pendirian kami berkaitan hal ini.

"Sebagai individu terawal dalam parti ini, saya kesal bahawa parti ini sudah semakin tersasar daripada matlamat asal penubuhannya.

"Perkara ini dapat dibuktikan lagi apabila presiden hanya mementingkan kelompok tertentu dan meminggirkan yang lain terutamanya pejuang asal parti yang berkorban sejak 20 tahun lalu.

"Selain itu, dapat saya katakan juga keretakan ini berlaku disebabkan oleh pemilihan parti yang dilihat carca marba dan tidak telus selain memberi kelebihan kepada sesetengah calon presiden," katanya kepada media di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tiga cawangan tersebut merupakan kumpulan pertama yang bertindak keluar parti dan selepas ini dijangkakan beberapa cawangan lain juga turut akan melakukan perkara yang sama.

Beliau juga memberitahu, hampir 10,000 ahli PKR akan meninggalkan parti bermula hari ini sehingga hujung Mac depan.

"Buat masa ini kami akan bergerak atas kapasiti badan bukan kerajaan (NGO). Keputusan ini dibuat bukan atas paksaan, semuanya atas kerelaan hati kami sendiri,"katanya.

Untuk rekod, PKR Kelantan mempunyai lebih 25,000 ahli dan tindakan keluar parti yang dilakukan separuh daripada ahlinya.