ADUN Johor menghadap Sultan Ibrahim

Seramai 56 ADUN Johor dititahkan menghadap Sultan Johor di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru semalam.
Seramai 56 ADUN Johor dititahkan menghadap Sultan Johor di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dititahkan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini yang dipercayai berkaitan perkembangan terkini politik semasa negeri.

Tinjauan di Bangunan Sultan Ibrahim itu mendapati kenderaan membawa ADUN Johor tiba secara berperingkat seawal jam 1.05 tengah hari tadi.

Kenderaan yang dinaiki Sultan Ibrahim tiba di bangunan berkenaan pada jam 2.44 petang, disusuli kereta Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal tujuh minit kemudian.

Pada jam 3.25 petang, kereta yang membawa Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat memasuki kawasan bangunan berkenaan.

Sebelum itu, kelihatan beberapa Exco kerajaan negeri termasuk Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse (ADUN Bukit Batu); Exco Pendidikan, Kesihatan, dan Sumber Manusia, Aminolhuda Hassan (ADUN Parit Yaani) serta Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar (ADUN Semerah).

Turut hadir, Tan Sri Muhyiddin Yassin (ADUN Gambir) yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Ketua Pembangkang DUN Johor, Datuk Hasni Mohammad (ADUN Benut).

Bagaimanapun, beberapa ADUN disahkan tidak dapat menghadiri pertemuan itu berikutan masih berada di Kuala Lumpur ekoran perkembangan semasa politik negara, antaranya ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang merupakan Ahli Parlimen Pulai dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) serta Mazlan Bujang (ADUN Puteri Wangsa) yang merupakan Pengerusi Bersatu Johor.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan 14 kerusi masing-masing dimiliki UMNO dan DAP, Bersatu (11), Amanah (sembilan), PKR, (lima), MIC (dua) dan Pas dengan satu kerusi. - Bernama

Artikel Berkaitan: