Graduan UM didakwa hina Naib Canselor

Yan Ke (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menghina Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim pada Oktober tahun lalu.
Yan Ke (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menghina Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim pada Oktober tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menghina Naib Canselor universiti tersebut, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim pada Oktober tahun lalu.

Yan Ke, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu sehingga mendatangkan kemarahan terhadap Dr Abdul Rahim dan tetamu pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM di sini jam 10 pagi pada 14 Oktober 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili Peguam P Rajsurian dan Tan Wei Shin.

Terdahulu, Mohd Sophian mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM10,000 kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius serta ketika kejadian ia mendapat liputan luas.

Bagaimanapun, Rajsurian membantah cadangan itu kerana anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa selain dia merupakan seorang graduan kejuruteraan dari universiti terkemuka negara.

Artikel Berkaitan:

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 26 Mac ini.

Pada 14 Oktober 2019, ketika istiadat konvokesyen itu, Yan Ke membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’ dan ‘Ini Tanah Malaysia’.

Ia dipercayai ditujukan kepada Dr Abdul Rahim yang menurut graduan itu telah menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) UM pada 6 Oktober lepas.