Maritim rampas bot, hasil laut bernilai RM1.1 juta

Rashidilhadi (dua kanan) bertanyakan sesuatu kepada awak-awak yang ditangkap di lokasi 44 batu nautika dari Kuala Terengganu, petang semalam.
Rashidilhadi (dua kanan) bertanyakan sesuatu kepada awak-awak yang ditangkap di lokasi 44 batu nautika dari Kuala Terengganu, petang semalam.
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu menahan 11 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam kerana melanggar zon penangkapan ikan ditetapkan, semalam.

Semua suspek berusia 21 hingga 49 tahun itu ditahan dalam rondaan Ops Damai dan Ops Iman oleh Kapal Maritim KM Jujur ketika sedang leka menangkap ikan, kira-kira jam 3.43 petang.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Md Deris @ Abd Rashid berkata, siasatan awal mendapati bot itu keluar ke laut lebih dari tujuh hari dan ditahan kira-kira 44 batu nautika dari Kuala Terengganu.

“Kita yakin mereka berada di laut lebih seminggu selepas mendapati hasil laut yang di dalam bot itu termasuk 3.2 tan ikan dan sotong kering.

“Siasatan lanjut juga mendapati selain menceroboh perairan kita, mereka juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah,” katanya Menurutnya, selain 11 warga asing pihaknya turut merampas hasil laut bersama minyak diesel sebanyak 3,000 liter dan bot dianggarkan bernilai RM1.1 juta.

“Bot tersebut dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan untuk menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dan lesen yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

“Mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah,” katanya.

Rashidilhadi berkata, pihaknya yakin bot nelayan asing ‘membanjiri’ perairan negara pada musim tengkujuh kerana beranggapan penguatkuasaan tidak kerap dijalankan.

“Tanggapan mereka bercanggah sama sekali kerana pada musim tengkujuh sekalipun, kita masih meneruskan dan mengekalkan operasi sedia ada seperti musim biasa.
Artikel Berkaitan:


“Malah, pada musim tengkujuh ini, kita lebih bersiap sedia dan memberi lebih tumpuan kawalan di pulau-pulau terutamanya Pulau Redang dan Pulau Tenggol,” katanya.

Menurutnya, selain itu didapati faktor kurangnya nelayan tempatan turun ke laut pada musim tengkujuh juga menarik perhatian nelayan asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara.

Dalam masa sama, Rashidilhadi berkata, Maritim tidak akan sesekali leka dan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang akan merugikan negara.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.

“Justeru itu kerjasama masyarakat dialu-alukan terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan Terengganu ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu,” katanya.