X

Kindly register in order to view this article
!

Ceupacs minta penjawat awam kekal pendirian berkecuali

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta semua penjawat awam di negara ini mengekalkan pendirian 'apolitical' dan berkecuali.

Presidennya, Adnan Mat berkata, penjawat awam mestilah terus menjunjung dan mempertahankan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan melaksanakan tugas masing-masing sepertimana dipertanggungjawabkan.

"Semua penjawat awam diminta bertenang serta bersabar fokus sepenuhnya dengan meneruskan tugas mengikut undang-undang dan dasar kerajaan.

"Ia demi memastikan semua sistem penyampaian kerajaan terus berjalan lancar dan rakyat mendapat perkhidmatan yang berkualiti seperti sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata, perkhidmatan kualiti mesti diteruskan walaupun dalam situasi negara belum ada kerajaan bagi memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman dan damai.

Pada masa sama, Cuepacs mengambil pendirian untuk berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya sebarang langkah diambil Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan negara.

"Cuepacs dan penjawat awam akan sentiasa bersama dengan kerajaan yang akan dibentuk nanti bagi terus memacu negara ini ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan berkualiti kepada rakyat dan negara.

"Semua penjawat awam dilarang sama sekali daripada menghadiri atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan berkaitan politik, membuat apa-apa penyataan awam, mengedarkan atau menularkan berita palsu di media sosial atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan ketetapan undang-undang serta dasar Kerajaan yang berkuat kuasa," tegas beliau.

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan itu.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.