X

Kindly register in order to view this article
!

22,000 mesej rakyat buat Tun M

Sinar Harian membuka ruangan komen kepada rakyat Malaysia untuk meluahkan isi hati mereka kepada Dr Mahathir di platform akaun Facebook Sinar Harian sejak semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Pada usia 95 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad masih gigih bertungkus-lumus untuk membina Malaysia Baharu.

Bagaimanapun demi menjamin kesejahteraan masa depan keseluruhan rakyat tanpa mengira bangsa atau agama, beliau akhirnya menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 Februari lalu.

Namun, enam jam selepas itu Pejabat Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim.

Sebagai Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan ahli Kabinet baharu dilantik.

Sinar Harian telah membuka ruangan komen kepada rakyat Malaysia untuk meluahkan isi hati mereka kepada Dr Mahathir di platform akaun Facebook Sinar Harian sejak semalam.

Setakat 17 jam lalu, sebanyak 22,000 mesej diterima yang rata-ratanya menyokong Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri kelapan untuk kepentingan bangsa dan negara.

Antara yang menarik untuk dikongsi mesej daripada Reemy Ghazi merayu agar Dr Mahathir terus bersama dalam menerajui negara.

Antara komen daripada netizen.
Antara komen daripada netizen.

"Tun bersama la Muafakat Nasional, kami sayang Tun, kami hormat Tun, bersatu la kita bersama-sama, kami lebih gembira jika Tun bersama dengan Muafakat Nasional, membangunkan negara kita tanah air kita yang tercinta ini.

"Buat apa Tun berjuang bersama DAP, sedangkan Tun tahu apa yang mereka dah buat, saya percaya Tun sendiri pun sudah nampak betapa rasisnya mereka ini, fikir la Tun, bersatulah kita bersama Islam dan Melayu. Kukuhkan la Islam dan kaum kita di negara ini, jangan nanti orang pijak kaum kita dan jadikan Malaysia sebagai Malaysian nanti," tulisnya.

Muhamad Naim Rosli pula berkata, "Walau apa berlaku, kami tetap sayangkan Tun. Moga Tun dikurniakan kesihatan yang berpanjangan. Insya-ALLAH, amin."

Ujar Sabran Ibrahim, "Sudah lebih separuh abad Tun berkecimpung dalam politik, Tun dah tahu mana kawan, mana lawan, saya harap Tun buat yang terbaik demi negara yang kita cintai ini. Allahuakbar."

Bagi Jamil Abdul, dia amat berharap agar apa jua keputusan yang diputuskan oleh Dr Mahathir, ia selari dengan agama, bangsa dan negara.

"Buatlah keputusan yang terbaik Tun untuk agama bangsa dan negara kita. Kami sokong apa saja keputusan yang Tun buat, semoga ALLAH permudahkan segala urusan dan memberi pertolongan dalam segala usaha yang Tun lakukan, Amin," katanya.

Adiah Omar pula berkata, "Terima Kasih Tun. Lakukan yang terbaik untuk Malaysia. Harap Tun dapat memilih dan membentuk Kabinet yang berkhidmat untuk rakyat bukan untuk diri sendiri. Benar bekerja telus ikhlas dan jujur. Moga Tun di bawah lindungan-NYA dan sihat selalu. Jauhkan dari segala hasad dengki kejahatan."

Apa pun kata-kata dan mesej disampaikan netizen, siapa tahu isi hati Dr Mahathir ketika ini yang mahu menjadi ‘lilin yang membakar diri sendiri’ demi menerangi kehidupan keseluruhan rakyat di negara kita.

Netizen berdoa agar Dr Mahathir terus memimpin negara bagi memberi platform persediaan untuk penggantinya mengambil alih kepimpinan negara.

Jangan lepaskan peluang!

Posted by Sinar Harian on Tuesday, February 25, 2020


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus