Ibu tunggal didakwa dera anak

Tertuduh diiringi polis sewaktu tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh diiringi polis sewaktu tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mendera anaknya sendiri sehingga patah tulang pipi dan lebam di muka serta badan.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menganiaya anak lelakinya berusia 5 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di daerah ini antara 14 Januari hingga 20 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebaik sahaja pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri sebanyak dua kali setiap bulan di Balai Polis Chendering, di sini serta tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: