PKR dahului kepentingan rakyat: Fuziah

Fuziah menemui penyokong parti sejurus keluar dari pekarangan Istana Negara.
Fuziah menemui penyokong parti sejurus keluar dari pekarangan Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menegaskan apa sahaja tindakan yang diambil oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mendahului rakyat agar kemakmuran negara terpelihara.

"Kita juga berterima kasih kepada penyokong-penyokong di luar (istana) ini (menunggu) dalam cuaca panas, penuh kesabaran demi negara kita.

"Saya syukur kerana kita kekal menjaga keamanan negara," katanya hari ini.

Fuziah ditemui media sejurus keluar dari Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebentar tadi.

Ahli Parlimen Kuantan itu keluar dari istana menaiki bas sebelum berjalan kaki menemui penyokong Pakatan Harapan (PH) yang menunggu di bahu jalan kira-kira 200 meter di luar pintu istana.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengucapkan terima kasih kepada penyokong parti yang menunggu ketibaan mereka sejak pagi tadi.

"Alhamdulillah, hari ini ahli Parlimen PH telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan menyatakan pendirian kita dan akan mengikut Perlembagaan.

"Insya-ALLAH kita sama-sama tunggu. Dengan izin tuhan, akan ada penyelesaian terbaik untuk negara," kata bekas Timbalan Menteri Industri Utama itu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Kenderaan dinaiki Ahli Parlimen Port Dickson itu keluar dari pintu 2 bersama beberapa kereta lain yang dinaiki ahli Parlimen lain daripada PH.

Hari ini, seramai 131 ahli Parlimen menghadap untuk ditemu duga Yang di-Pertuan Agong.

Semalam 90 ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN), Pas dan Gabungan Parti Sarawak selesai berbuat demikian susulan kemelut politik semasa.