Bersatu sokong Tun Dr Mahathir Mohamad

Mohd Radzi -Foto: Bernama
Mohd Radzi -Foto: Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan parti itu menyokong penuh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu.

"Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu sudah membuat ketetapan menyokong penuh Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Radzi berkata, selepas mesyuarat berkenaan, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Bersatu dan menyampaikan keputusan parti supaya terus memberikan kepercayaan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

"Pagi tadi, semua Ahli Parlimen Bersatu telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara dan menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

"Semua Ahli Parlimen Bersatu diseru supaya bertenang dan memberikan keyakinan penuh kepada kepimpinan Bersatu dalam menangani situasi politik semasa.

"Kita yakin bahawa situasi politik ini akan dapat diselesaikan dengan segera dan negara kita akan muncul lebih gagah, bersatu padu di bawah kepimpinan Dr Mahathir," katanya.

Artikel Berkaitan: