Tragedi 'merempit', seorang maut, 2 cedera di Lebuhraya Guthrie

Video durasi 28 saat tular di media sosial sejak Jumaat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara melulu sebelum berlaku kemalangan.
Video durasi 28 saat tular di media sosial sejak Jumaat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara melulu sebelum berlaku kemalangan.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Tindakan sekumpulan individu dipercayai menunggang secara berbahaya berakhir tragedi apabila seorang maut, manakala dua lagi cedera setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11.5 Lebuhraya Guthrie menghala utara, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.27 pagi itu, tiga buah motosikal berkenaan terlibat dalam kemalangan selepas dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu dikesan selepas video rakaman insiden berkenaan tular di media sosial memaparkan sekumpulan penunggang menunggang secara berbahaya di lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit berumur lingkungan 20-an dan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Siasatan awal mendapati motosikal pertama bergesel dengan motosikal kedua sebelum kedua-duanya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

"Penunggang motosikal pertama tercampak ke dalam longkang pembahagi jalan manakala penunggang kedua terjatuh di bahu jalan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, masa sama sebuah lagi motosikal datang dari arah belakang gagal mengelak sebelum terbabas dan menyebabkan penunggangnya cedera di tangan dan kaki.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal pertama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang kedua kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Hafiz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222," ujarnya.

Terdahulu, video durasi 28 saat tular di media sosial sejak Jumaat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara melulu sebelum berlaku kemalangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!